| M | T | W | T | F | S | S |
|---|---|---|---|---|---|---|
| « Sep | ||||||
| 1 | 2 | 3 | 4 | |||
| 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10 | 11 |
| 12 | 13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 |
| 19 | 20 | 21 | 22 | 23 | 24 | 25 |
| 26 | 27 | 28 | 29 | 30 | 31 | |
Tidak, saya tidak dihadiahi novel ini. Tetapi ketua saya, Puan Hajah Ratna Inzah memberi pinjam kepada saya novel ini untuk mengetahui dan mendalami sebuah pesanteren moden di Jawa Timur yang dikenali sebagai Pondok Madani. Novel ini diilhamkan oleh A. Fuadi seorang lulusan Pondok Moden Gontor berdasarkan pengalaman beliau di pondok tersebut. Ingin tahu kisah menarik novel ini? Tunggu saya selesai membacanya. Insya-Allah, akan saya catatkan secebis rasa hasil pembacaan saya.
Saya gapai “Bidadari-Bidadari Syurga” dari rak kedai buku dengan tujuan untuk menghadiahkannya kepada seorang teman. Hingga hari ini teman itu masih belum menuntut hadiahnya. Maka saya gunakan waktu yang ada dengan menyelak setiap lembar novel ini. Nyata, pilihan saya tidak sia-sia. Malah saya berharap, andai teman itu nanti berpeluang memiliki hadiahnya ini, novel ini mencetus semangat juang dalam dirinya dalam mendaki puncak ilmu.
Novel ini berkongsi kisah, anak-anak yatim di Lembah Lahambay - Laisa yang sentiasa berkerja keras, Dalimunte yang bijaksana, Ikanuri dan Widapatna - dua musang nakal dan Yashinta - puteri ayu penyayang fauna.
Dalam serba kekurangan, Laisa mengorbankan persekolahannya demi membantu ibu yang tersayang, Mak Lainuri, memastikan adik-adiknya terus berpeluang menimba ilmu.
Lima kincir air ciptaan Dalimunte pula membantu penduduk kampung mengairi tanaman mereka tanpa bergantung kepada hujan sekaligus meningkatkan kaedah pertanian dan pendapatan penduduk kampung seluruhnya.
Kehadiran siswa-siswi melalui program latihan dan lawatan mereka pula kemudiannya membuka peluang kepada Laisa untuk membuka ladang strawberi di tanah mereka.
Empat beradik ini, terus membesar dalam lautan kasih sayang dan titik peluh Laisa dan Mak Lainuri, hingga memungkinkan Dalimunte bergelar Profesor, Ikanuri dan Widapatna memiliki bengkel motokar mereka sendiri dan Yashinta giat dalam usahanya menyelamatkan haiwan liar di tengah belantara.
Namun, ada rahsia yang tidak pernah mereka tahu. Harga yang perlu dibayar Laisa dalam usaha membesarkan adik-adiknya menuntut bukan satu pengorbanan. Laisa berkorban jiwa dan raga. Laisa berkorban jasad dan perasaan hanya untuk melihat setiap adiknya berjaya dalam lapangan mereka. Juga demi memastikan adik-adiknya membina mahligai bahagia bersama pasangan masing-masing. Apakah harga yang menuntut jiwa dan jasad gadis kampung bernama Laisa? Tekunilah “Bidadari-Bidadari Syurga” hingga ke halaman terakhir.
Novel ini bermula dengan huraian yang agak leceh apabila Puan Pengacara Majlis di sebuah seminar berjela-jela memperihalkan Profesor Dalimunte. Saya menyabarkan hati membacanya kerana saya tahu, ada kisah yang lebih menarik lagi di sepanjang novel ini.
Kesabaran saya berhasil apabila setelah melepasi bab itu, ceritanya bergerak laju, berselang seli antara kisah semasa dan imbas kembali zaman kanak-kanak mereka lima beradik. Jalinan cerita yang kemas, tidak meleret-leret diselangi bunga bahasa yang indah (dan juga tidak meleret) memudahkan lagi pembacaan saya malah sering membuat saya tidak sabar untuk mengetahui kisah selanjutnya.
Tahniah saya ucapkan kepada Tere Liye. Kini saya tidak sabar untuk membaca ‘Hafalan Solat Delisa’ dan ‘Moga Bonda Disayang Allah’. Terima kasih juga kepada PTS Litera yang menerbitkan edisi terjemahan ini dan kepada penterjemahnya Tuan Mohd. Rosdi Mohd. Zin. Demikian aktiviti penterjemahan memperkayakan pengalaman dan pengetahuan kami yang sentiasa dahaga.
“Yakinlah, wanita-wanita solehah yang sendiri, namun tetap mengisi hidupnya dengan indah, bersedekah dan berkongsi, berbuat baik dan bersyukur. Kelak di hari akhir sungguh akan menjadi bidadari-bidadari syurga. Dan khabar baik itu pastilah benar; bidadari syurga parasnya cantik luar biasa.” (hal. 383, Bidadari-Bidadari Syurga)
Ramadan semakin ke penghujungnya. Hanya beberapa hari sahja lagi mentari Syawal akan memancarkan sinarnya.
Di kesempatan ini, saya memohon ribuan ampun dan maaf seandainya sepanjang saya menulis di sini atau sepanjang persahabatan kita di luar sana, pernah saya terkasar bahasa, tersilap bicara, tersalah tingkah.. Sesungguhnya yang baik itu dari Allah swt dan yang kurang enak itu adalah kelamahan diri saya sendiri. Mohon ampun…
Judul: Johor Baru
Penulis: Arena Wati
Penerbit: Penerbitan Pustaka Antara (cetakan kedua - 1982)
Mungkin kerana saya seorang yang sentimental. Atau mungkin saya kelihatan ortodoks. Saya amat menyenangi karya tahun 60-an, baik cerpen, novel, beberapa lagu dan filem (terutamanya Klasik FM). Kesenangan ini bukan baru tapi semenjak saya di sekolah rendah lagi, ketika pertama kali saya menemui buku ‘Kisah 1001 Malam’ di sudut bacaan kelas saya. Jawatan pustakawan di sekolah menengah pula membuka pintu seluas-luasnya kepada saya untuk menghadam karya sasterawan negara yang diterbitkan melalui ‘Edisi Khas Sasterawan Negara’ oleh DBP.
Beberapa bulan lau, Fadz menghadiahi saya buku ini dan beberapa judul yang lain. Oh, saya yang minta sebenarnya memandangkan buku-buku ini buku lama, dan di kulitnya tertera nama Arena Wati, salah seorang penulis yang saya minati. Namun saya ambil sedikit waktu untuk mulai membacanya. Apa lagi jika bukan dalam tren. Waktu inilah saya menenggelamkan diri dalam lautan yang dicipta sang penulis.
Saya tertarik dengan Pengenalan oleh Pustaka Antara: Kami harap semoga buku ini memberi manfaat kepada pembaca. Sedar atau tidak, setelah 27 tahun, saya memegang buku ini, membacanya dan masih merasai panas, sibuk, bising, nakal, semangat, kasihan, sayu, dilema dll yang dilukis Arena Wati melalui tintanya.
Johor Baru memuatkan 10 cerpen Arena Wati yang telah tersiar di pelbagai dada akhbar dan majalah dari tahun 1961 hingga 1965. Pelbagai kisah masyarakat dicatatkan melalui 10 buah cerpen ini.
‘Tujuh Hari Sekali’, menukilkan rasa kesal seorang lelaki akibat kenakalan sewaktu kanak-kanak.
‘Laporan dari Hayat’, memaparkan rasa cemburu seorang suami terhadap ‘kekasih gelap’ sang isteri yang ditemui dalam buku catatan harian isterinya.
‘Johor Baru’ melukiskan mata galak sang lelaki, gaduh pelanggan tawar menawar dan pelat ulat penjual tiket wayang.
Cerpen-cerpen lain yang terkandung dalam antologi ini ialah ‘Cikgu Rukiah’, ’Kedatangan Penghuni Baru’, ’Langir Biru di Woodland’, ‘Atan Belum Kahwin’, ‘Keluarga Wak Daeng’, ‘Ana’ dan ‘Suaminya Jadi Orang Terkenal’.
Sukar untuk saya mencatatkan perasaan saya yang bercampur-baur selepas membaca antologi ini. Apa yang dapat saya simpulkan ialah, inilah kehidupan. Menjalaninya tidak mudah. Mengisinya perlu tabah. Malah saya antara manusia yang bertuah kerana tidak perlu melalui kesempitan, kesunyian, atau keterbuangan seperti mana watak-watak dalam antologi ini.
Jauh daripada itu apa yang tertulis dalam ‘Johor Baru’ masih menghuni bumi Malaya. Perbezaan tahun yang menyaksikan kemajuan dan pucuk pimpinan yang bertukar ganti masih belum dapat menyelesaikan isu tanah, kemiskinan dan ISA. Malah kisah yang sama berulang setiap dekad dengan pelakon dan lokasi yang berbeza.
Tema: Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan
Tarikh: 9 - 10 Jun 2009
Tempat: Dewan Seminar, Aras 2, Menara DBP, Kuala Lumpur
Anjuran: Dewan Bahasa dan Pustaka
Latar belakang:
Perkembangan sastera kebangsaan banyak ditentukan oleh para sasterawan,iaitu penulis kreatif dan ilmuwan seperti penyelidik, sarjana sastera, ahli teori, pengkritik, sejarawan sastera, dan penggiat sastera. Di tangan merekalah karya sastera menjadi semakin mantap dan bermutu. Mereka jugalah yang memberi warna, corak dan pola terhadap pembinaan dan pembangunan kesusasteraan kebangsaan.
Bengkel Penerapan Teori Terhadap Teks Sasterawan Negara pada tahun 2002 yang dikendalikan oleh Bahagian Teori dan Kritikan Sastera merupakan perintis jalan untuk membincangkan karya Sasterawan Negara secara mendalam. Oleh itu, penobatan Kamaluddin Muhammad (Keris Mas) sebagai Sasterawan Negara yang pertama pada tahun 1981 yang lalu, memberi ruang yang lebih luas kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mengupas karya beliau secara tuntas.
Dalam siri pertama seminar ini yang telah diadakan pada 24–26 Mei 2004, DBP telah menganjurkan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan, diikuti Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Keris Mas pada 2–4 Ogos 2005, Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Usman Awang pada 13–15 November 2006, Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Shahnon Ahmad pada 13-14 November 2007 dan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara A. Samad Said pada 13-15 Mei 2008.
- Membincangkan karya Sasterawan Negara Arena Wati dalam pelbagai genre secara tuntas melalui pelbagai pendekatan dan teori;
- Menggali pemikiran kreatif dan proses kreatif Sasterawan Negara Arena Wati sewaktu menghasilkan karya-karya besar beliau;
Mencari dimensi baharu dalam pemikiran Sasterawan Negara Arena Wati untuk
- dimanfaatkan dalam penghasilan karya kreatif, teori dan kritikan masa kini dan pada masa akan datang
SKOP KAJIAN
Skop kajian seminar meliputi perbincangan karya Sasterawan Negara Arena Wati dalam pelbagai genre yang dikupas melalui pelbagai teori dan pendekatan. Sebanyak 20 kertas kerja akan dibentangkan dalam seminar ini nanti.
Di samping itu, Bahagian Teori dan Kritikan Sastera juga memperkenalkan konsep penulisan kertas kerja iringan bagi memberi peluang kepada penulis terutamanya generasi muda untuk mengemukakan pandangan mereka terhadap karya Sasterawan Negara Arena Wati. Sebanyak sepuluh kertas kerja iringan diperuntukkan dalam seminar ini. Kertas kerja tersebut, walaupun tidak dibentangkan tetapi akan turut diedarkan kepada para peserta.
PENYERTAAN SEMINAR INI ADALAH PERCUMA
Untuk maklumat dan keterangan lanjut, sila hubungi :
Urus Setia,
Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Arena Wati,
Bahagian Teori dan Kritikan Sastera,
Dewan Bahasa dan Pustaka,
Peti Surat 10803,
50926 KUALA LUMPUR.
Tel : 03-21482537/21482539/21481217/21482543
Faks : 03-21414109
E-mel : faezah@dbp.gov.my
Sepulang dari percutian yang panjang, saya digembirakan pula oleh komen yang saya terima di entri yang lalu. Sungguh saya tidak menyangka, Puan Azmah Nordin, salah seorang penulis yang saya minati, sudi membaca tulisan saya dan memberikan sedikit ulasan. Bangga rasanya. Terima kasih banyak Puan Azmah.
Saya amat menggemari novel ‘Noor Ainku Sayang’ yang dihadiahkan guru kepada saya ketika dalam darjah 4 dahulu. ‘Noor Ainku Sayang’ menambah pengetahuan dalam diri saya mengenai kewujudan Gua Gomantong di Sabah, aktiviti pemungutan sarang burung layang-layang dan kasih sayang sesama insan melalui watak Noor Ain yang menghidap down syndrome.
Bersama-sama ‘Noor Ainku Sayang’, saya turut dihadiahkah ‘Sabarlah Sayang’, karya Abu Hassan Morad. Inilah dua buah novel yang begitu berharga di sepanjang hidup saya, yang menyebabkan saya berkenalan dengan penulis2nya dan menyelongkar khazanah mereka di perpustakaan sekolah saya.
Pengalaman dihadiahkan buku sewaktu kecil dahulu menyebabkan saya begitu kepingin menghadiahkan buku untuk kanak2 yang saya kenali terutamanya yang mempunyai hobi membaca seperti saya. Kerana itu, di penghujung tahun 2008, saya mengambil kesempatan membelikan beberapa judul buku untuk adik2 sepupu saya yang berusia antara 6 - 12 tahun. Tetapi saya tidak sempat mengambil kesemua gambar buku-buku itu.
‘Arnab Dengan Kura-Kura Berlumba Lagi’ merupakan himpunan cerita rakyat. Buku ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008. Seimbas lalu, buku ini memang menarik kerana ilustrasi yang disediakan berwarna-warni.
Ini karya Rahman Shaari yang terbaru berjudul Pernikahan di Lubuk Hantu. Buku ini menarik. Best!! Heheheh. Kepada anda yang belum mengenal Rahman Shaari (Rahman), bacalah dahulu karyanya yang terdahulu, Burok dan Psikobabo. Watak Lina Sepora dan Linda Seripah yang ada dalam kedua-dua novel berkenaan turut ada dalam novel ini. Tapi ini bukan sekuel, atau novel bersiri. Saya percaya, Rahman sengaja memasukkan nama2 ini untuk mengimbas kenangan pembaca. Secara tidak langsung, jika anda belum membaca Burok atau Psikobabo, pasti anda akan berusaha mendapatkannya selepasa membaca novel ini.
Secara peribadi, saya mengagumi Rahman. Beliau seorang yang berani. Beliau menulis isu sensitif, malah mungkin dianggap taboo bagi sesetengah ahli masyarakat. Beliau menyelami masalah dalam masyarakat yang kadangkala dipandang besar dan kadangkala dipandang sepi. Ada waktu, masalah seperti ini tidak dipandang langsung malah diusahakan untuk tidak pernah wujud dalam sejarah masyarakat Malaysia.
Dalam Pernikahan di Lubuk Hantu, beliau menggunakan medium psikoanalisis untuk menerangkan kepada masyarakat tentang ragam manusia, utamanya berkaitan perilaku seks yang pelik (seperti kisah orang tua singkap kain, tuan rumah intai penyewa di bilik air, individu yang suka mengumpul pakaian dalam orang lain dll) dan persoalan mengapa lelaki memadukan isteri mereka secara rahsia. Rahman turut menggambarkan emosi wanita yang diganggu lelaki miang dan wanita yang menjadi isteri kedua.
Selain isu ini, Rahman turut menyatakan pandangannya mengenai politik dan kepercayaan tahyul yang sebenarnya amat rapat dengan masyarakat. Tidak dinafikan, cerita politik tidak sekadar hangat di kedai kopi, di kaca televisyen malah hampir setiap hari menjadi tajuk utama akhbar. Begitu juga kisah-kisah tahyul, jampi serapah dan orang bunian, turut menjadi salah satu pengisian dalam perbualan masyarakat, malah mempunyai ruang khas di dada akhbar dan majalah. Ada pandangan sinis Rahman berkaitan isu ini. Pandangan ini secara tidak langsung bakal membuat kita tertanya-tanya, apakah benar yang kita dengar, baca dan lihat tentang tokoh-tokoh politik tertentu dan tokoh-tokoh agama tertentu?
Setiap konflik yang diwujudkan dalam Pernikahan Di Lubuk Hantu dijalin dengan kemas. Tidak ada watak hitam putih - semua watak diberi pelbagai warna. Saya menyenangi hal ini kerana inilah realiti.
Sedikit isi novel ini, ia memerihalkan seorang tokoh psikoanalisis iaitu Kapten Abeh Jantana, penasihat Kelab Budaya Kajang (KEBUKA) yang digambarkan sebagai bukan sahaja penulis, pengarah dan pelakon, tetapi juga penceramah topik2 psikoanalisis. Orang kanan Kapten Abeh, Laksamana Yahya pengerusi Kelab Budaya Ulu Kelang (KEBULU), juga seorang penulis, pengarah dan pelakon. Masing-masing punya isteri kedua, yang dinikahi di Lubuk Hantu. Karekter isteri-isteri kedua ini juga tidak kurang hebatnya. Dayang Tusix, isteri Kapten Abeh, seorang tokoh feminisme dari Sarawak manakala Siti Ofisa, isteri Laksamana seorang penyanyi nasyid dan johan pidato di Sabah.
Turut sama mewarnai novel ini ialah watak dua beradik berlainan ibu, Kamel Do dan Manan Do, anak Pak Doraimon. Dua generasi inilah yang mempunyai perilaku seks yang pelik, yang terpaksa (akhirnya menjadi tabiat) melakukan keganjilan tertentu bagi melampiaskan nafsu mereka. Bezanya Kamel Do memerlukan ineraksi dua hala dengan mengganggu/menggoda wanita-wanita yang berkenan di hatinya manakala Manan Do cukup sekadar mengumpul pakaian dalam wanita yang dicuri. Hal ini tidak dianggap pelik memandangkan Pak Doraimon turut mempunyai keganjilannya yang tersendiri.
Hem, bagaimana agaknya kisah-kisah ini dijalin dan apakah konflik yang ditimbulkan Rahman melalui Pernikahan di Lubuk Hantu? Anda perlu mendapatkan novel ini di pasaran.
Kesimpulannya, saya berpuas hati dengan ilmu-ilmu psikoanalisis yang terkandung dalam novel ini. Cuma, saya berharap, Rahman di waktu akan datang menghasilkan pula sebuah novel lain yang menunjuk jalan ke arah penyelesaian (pengubatan/pembendungan) masalah masyarakat yang telah dilukiskan dengan baik dalam Pernikahan di Lubuk Hantu.
Salam,
Kadang-kala saya menulis resensi untuk majalah2 di DBP. Untuk bulan Jun 2008, saya telah menulis resensi buku2 di bawah bagi majalah Tunas Cipta. Saya siarkan kembali resensi berkenaan (yang belum diedit) untuk tatapan anda. Moga ia berjaya memujuk anda untuk sama-sama menghadam novel2 ini.
Selamat membaca.
**********************************************************************
Penulis: Jaya Ramba
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM18
Bee Fatt mengambil langkah terpuji apabila bersetuju mendermakan sepasang mata mendiang isterinya. Namun langkah ini semakin membuakkan kebencian bapa mertuanya, Datuk Hin Huat Ba. Nilam, gadis yang menerima sepasang mata itu terpaksa hidup sendirian apabila abangnya, Ba Man dipenjarakan kerana merompak Datuk Hin bagi menjelaskan bil pembedahan adiknya. Peguam Lan Liew yang tamakkan harta, merancang pelbagai helah demi mendapatkan harta Datuk Hin. Dalam masa yang sama dia juga menuntut hak penjagaan terhadap Mary, gadis kecil berusia lima tahun dari tangan bekas isterinya Christi. Dia juga cuba menggoda Nilam apabila mendapat tahu gadis berkenaan adalah anak kandung Datuk Hin. Berjayakah Nilam menepis godaan Peguam Lan Liew? Mampukah Christi menghalang tuntutan lelaki yang telah membuat dia merana dan hampir membunuh diri? Bagaimana Nilam meneruskan kelangsungan hidup tanpa abang kandung di sisinya? Apakah punca Datuk Hin membenci Bee Fatt? Hayatilah konflik keluarga yang meruntun jiwa melalui Bara Yang Menyala. Hanya kasih sayang sesama manusia yang dapat menyelesaikan setiap persoalan.
*****************************************************************************
Penulis: Mohamad Kholid Hamzah
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM20
Menjadikan buluh sebagai produk kraf dan perabot mungkin kedengaran agak asing bagi warga Malaysia. Apatah lagi dominasi rotan sebagai bahan anyaman utama telah terserlah seantero dunia. Mendirikan chalet berteraskan buluh seratus peratus (termasuk perabot dan hiasan dalaman) juga suatu pembaharuan. Hanya kesabaran, usaha tanpa jemu dilengkapi idea kreatif dan dinamis dapat merealisasikan impian. Desir Angin di Pergunungan menyaksikan kegigihan Nadzli, anak muda Gunung Semangkok beserta Suraya, seorang ibu tunggal dengan kelulusan Ijazah Sains Perhutanan dari University of Canterbury, New Zealand, berganding bahu menjadikan buluh bukan sahaja sebagai tanaman komersial dengan hasil anyaman atas nama Buluh Kraf sebagai produk utama malah menjadi gerbang kepada industri pelancongan negara dengan pembinaan beberapa chalet berkonsepkan buluh atas nama Chalet Peranginan Gunung Semangkok. Selain itu, novel ini turut memaparkan pergolakan jiwa Nadzli dalam memilih pasangan hidupnya iaitu antara Suraya yang telah diterima baik oleh ibunya atau Ai Lin, pemilik Warnasari, sebuah syarikat dari Singapura yang menjalankan kerjasama dengan Buluh Kraf. Desir Angin di Pergunungan turut menyelami konflik jiwa yang melanda Suraya sebagai seorang anak angkat yang mencari kembali akar umbi keluarga kandungnya.
******************************************************
Penulis: John Norafizan
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Harga: RM22
Ashraf mengembara ke bumi Jordan meninggalkan Nini yang berbadan dua kerana mencari Laila, cintanya yang ditinggalkan hampir sedekad. Suraya berkelana di Manchanster setelah dikecewakan oleh Father Thomas Rodriguez dan terlepas ikatan syahadah. Nini tenggelam dalam hangat asmara Sedek yang membibitkan benih terlarang sebelum bertemu dengan cinta tulus Numair, seorang pejuang pembebasan Palestin. Garis-Garis Deja Vu menghimpunkan kisah cinta antara benua. Ia turut menyelami pergolakan jiwa kanak-kanak melalui watak Damien, seorang anak kecil berusia 10 tahun, yang tabah mengharungi kesunyian setelah ditinggalkan ayahnya saat ibunya terlantar koma di hospital dan Sulaiman yang juga berusia 10 tahun, tenang menghadapi kesukaran mencari ayah kandung di bumi asing, kota London meninggalkan keluarga yang dikasihi di bumi Jordan. Garis-Garis Deja Vu juga mengungkai makna persahabatan antara Suraya dan teman serumahnya Eilin, dan antara Jenny, si pembuli dan Damien walaupun mereka berbeza pegangan agama.
************************************************************************
Penulis: Nasrudin Mohammed
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM20
Permainan politik bukan sahaja dalam urusan pemerintahan negara malah ia ada dalam hampir setiap ruang kehidupan. Barisan pentadbiran di institusi pengajian tinggi tidak terkecuali dalam permainan ini. Ada yang menggunakan pengaruh bagi mengabui pemerintahan tertinggi dalam melobi kenaikan pangkat. Ada juga yang menggunakan taktik psikologi untuk mendapatkan ruang yang selesa dalam barisan pentadbiran. Menara mencatatkan monolog diri Dr. Halil bin Shukran, dekan sebuah fakulti di universiti yang mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan setelah kecewa dengan tiupan fitnah ke atas dirinya. Halil kecewa kerana pengabdiannya sepanjang berkhidmat dengan universiti disalahertikan. Malah pengetahuan yang dimilikinya dipandang oleh musuh-musuhnya sebagai satu ancaman hingga menyebabkan dia perlu disingkirkan. Menara menyelami kekecewaan ini dan melihat sebuah permainan yang menyerlahkan warna sebenar musuh dan rakan.
*******************************************************************************
Penulis: Beb Sabariah
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM22
Dilahirkan dengan hidung pesek, Waheeda menjadi mangsa ejekan rakan sepersekolahan. Namun ejekan ini juga menjadikan Waheeda tabah, percaya diri dan bekerja kuat menguruskan Tajau Emas, rumah tumpangan keluarganya yang berkonsepkan homestay, di daerah Matang, Kuching, Sarawak. Jauh di sudut hati, Waheeda menanam keinginan untuk membuat sedikit perubahan pada wajahnya bagi ‘memperbaiki, memulih dan memperkemas diri’. Setelah menyerahkan pengurusan Tajau Emas kepada sepupunya, Fatimah, Waheeda terbang ke Singapura bagi merealisasikan impiannya. Dalam tempoh pemantauan, Waheeda bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Hotel Flamingo. Di Flamingo, Waheeda bertemu jodoh dengan Zahid, anak Datuk Yaseer, yang juga rakan niaga Tajau Emas melalui Syarikat Bahterangkut. Namun mahligai indah yang dibina mulai goyah ketika kandungan Waheeda baru berusia tiga bulan. Mampukah Waheeda mempertahankan ikatan pernikahannya? Apakah musibah yang menimpa merupakan taruhan kepada impian yang telah tertunai?Tirani mengungkap akibat kesan pembedahan komestik bukan sahaja ke atas individu yang berkenaan tetapi lebih jauh lagi melangkaui susur galur generasi berikutnya.
Saat membaca kedua-dua karya ini, Rusia sedang galak melancarkan serangan ke atas Georgia. Saya tertanya2 kenapa Rusia bertindak sedemikian.
Meskipun kini, serangan berkenaan telah reda, namun kehagatannya masih terasa buat diri saya. Ya Allah, Kau kembalikanlah keamanan di bumi-Mu ini dan kekalkanlah keamanan di tanah tumpah darahku ini. Amin.
Dua naskhah di atas saya pinjam melalui PDM (Saya baru mengembalikannya semalam). Waktu senggang di dalam tren seawal jam 6 pagi saya gunakan untuk membaca naskhah2 tersebut.
‘Kembali Pada Cinta Kasihmu’ merupakan kisah seorang gadis (maaf, saya tak ingat namanya) yang sedang meratapi kematian ayahnya - satu-satunya ahli keluarganya yg tinggal. Hal ini menyebabkan si gadis jatuh sakit dan membimbangkan pengasuhnya. Pengasuh gadis ini memohon bantuan pembantu mendiang ayahnya untuk mengembalikan keyakinan dan keriangan si gadis. Sang pembantu berjaya memulihkan semangat si gadis lalu hubungan mereka menjadi rapat. Lama-kelamaan, si gadis menyedari bahawa dia telah jatuh cinta dengan pembantu berkenaan. Dia menyuarakan perasaannya. Meskipun sang pembantu mengakui perasaan yang sama, namun dia bimbang utk melamar gadis ini kerana perbezaan umur mereka melangkaui 20 thn. Namun akhirnya, pasangan ini bernikah dan si gadis berpindah tinggal ke kediaman si pembantu (yang tinggal bersama2 bondanya).
Kesepian membuatkan si gadis mengajak suaminya bersiar2 di kota. Di kota, si gadis mengalami kejutan budaya. Dia dipandang sebagai gadis kampung yang cantik, sering diajak menghadiri pesta, dan sering diajak menari. Hal ini membuatnya leka meskipun kemudiannya dia dikurniakan tiga cahaya mata. Pelawaan suami untuk kembali ke kampung halaman sering diketepikan.
Satu hari, sang suami pulang ke kampung meninggalkan si gadis di kota. Si gadis pula masih berseronok dan bergembira bersama kawan2 perempuannya menghadiri pesta.
Dalam satu perjalanan, si gadis dan temannya, terdengar perbualan dua org lelaki yang sering berpesta bersama mereka. Lelaki2 berkenaan berbual mengenai seorang gadis baru yang lebih cantik dan sofistikated. Perbandingan ini membuatkan si gadis sakit hati namun masih belum mengakuinya. Ketika keluar dari tempat persembunyiannya, si gadis diajak berjalan oleh lelaki tadi. Ternyata, lelaki berkenaan bukan sekadar mengajaknya berjalan tetapi cuba mengambil kesempatan.
Mujur si gadis cepat sedar dan segera beredar. Dia seterusnya mengemaskan barang2nya dan segera menaiki kereta api dan kembali ke pangkuan suaminya.
Novel nipis ini mudah dibaca. Terjemahan Pak Pram juga memudahkan pembacaan dan pemahaman. Cuma saya tertanya2 apakah ini salah satu karya Tolstoy yang mengangkat namanya ke persada sastera antarabangsa?
Naskhah seterusnya iaitu “Setelah Pesta Dansa” merupakan himpunan tiga novel (?) pendek. Novel pertama, saya tak ingat judulnya. Novel kedua: Bapa Sergius manakala “Setelah Pesta Dansa” merupakan novel yang ketiga.
Novel pertama ialah persoalan berkenaan perlukah cinta sebelum kahwin. Ia juga mempersoalkan kewajaran wanita diberi pelajaran tinggi. Ini kerana sesetengah pihak berpendapat, ‘pelajaran’ akan menyebabkan wanita tidak setia dengan perkahwinan mereka. Hal ini dibuktikan dengan kisah seorang lelaki yang telah membunuh isterinya kerana si isteri bermain kayu tiga dengan kenalan baiknya semata-mata disebabkan minat mereka yang sama iaitu muzik. Sang isteri bermain biola manakala sang lelaki memetik piano.
“Bapa Sergius” pula ialah kisah Sergius, seorang pemuda yang tidak pernah kalah dalam pelbagai acara yg disertainya. Dia kemudiannya menjadi tentera dan dikurniakan pangkat tinggi dalam platunnya. Satu hari, dia melamar gadis paling cantik di daerahnya untuk dijadikan isteri. Sergius kemudian mendapat tahu bahawa gadis berkenaan pernah menjadi gundik pemerintah di kawasan mereka. Hal ini membuatnya kecewa. Sergius lalu mohon berhenti dan berpindah ke biara untuk mengabdikan diri kepada Tuhannya.
Pertapaan selama bertahun-tahun dengan jadual makan yang ketat akhirnya menyebabkan Sergius menjadi orang warak dan doanya dikabulkan. Ramai orang dari pelbagai daerah datang untuk memohon didoakan kesihatan mereka. Satu hari, seorang gadis anak orang kaya, datang utk didoakan. Ketika bersendirian dalam bilik rawatan, gadis ini menggoda Sergius untuk melakukan persetubuhan.
Esoknya, Sergius melarikan diri. Dia mencari seorang wanita yang pernah menjadi teman sepermainannya. Dia mengagumi wanita ini kerana meskipun susah, ditinggalkan suami, mempunyai ramai cucu dan menantu sakit dan tidak boleh bekerja, tinggal di rumah buruk yang hanya ada satu bilik shj, mencari makan dengan cara mengajarkan muzik atau membuat roti, tetapi wanita ini tabah, tidak meminta2 dan tidak merasa berdosa. Sergius memohon berkah dari wanita berkenaan untuk meneruskan hidupnya yang dirasakan amat berdosa.
“Sesudah Pesta Dansa” adalah kisah yang paling pendek. Seorang pemuda menghadiri pesta dan berdansa dengan seorang gadis. Kecantikan dan kelembutan gadis berkenaan amat memikat hatinya hingga ia berjanji dengan kedua org tua gadis berkenaan (yg turut hadir di pesta itu) untuk melamar gadis ini. Dia kemudian pulang dalam keadaan mabuk. Esoknya, pagi2 lagi dia dikejutkan oleh raungan seorang lelaki. Rupa2nya, lelaki itu dari kasta rendah, ditangkap dan diikat serta diarak di seluruh kota sambil disebat dengan cemeti. Lelaki itu berkali2 memohon agar tidak disakiti namun raungannya tidak diperdulikan. Pemuda yang menonton peristiwa ini merasa amat simpati. Apatah lagi, belum tahu apa sebenarnya kesalahan lelaki berkenaan hingga didera sedemikian. Sang pemuda merasa sesal atas kejadian ini. Tiba-tiba, sang jenderal yang mengetuai perarakan menjerit memarahi pembantunya yg memegang cemeti. Sang jenderal lalu turun dari kduanya, merampas cemeti berkenaan dan menghayun kembali dengan sepenuh tenaga. Ketika inilah si pemuda terpandangkan wajah sang jenderal. Alangkah terperanjatnya dia apabila mendapat sang jenderal ialah ayah kepada gadis yang ingin dilamarnya.
Membaca kedua-dua naskhah ini sebenarnya belum lagi menjawab persoalan saya kenapa Leo Tolstoy menjadi begitu gah di peringkat antarabangsa. Mungkin saya perlu melakukan penyelidikan utk mengetahui latar masyarakat hingga nama Leo Tolstoy diangkat sedemikian rupa. Namun kini, saya sudah boleh berbangga kerana saya telah membaca karyanya.
Salam lebaran.