Dia Yang Pernah Saya Lihat

Posted on June 20, 2007 by anum78.
Categories: Books, Tokoh.

Sejak mula berkhidmat di DBP sekitar tahun 2001, saya kerap terserempak dengan dia. Pada mulanya, saya ingatkan dia salah seorang staf DBP. Tetapi saya tidak pernah pula nampak dia menggantung pas staf atau tanda nama DBP di dadanya.

Saya tertarik untuk mengetahui siapa dia kerana yang pertama sekali wajahnya ada iras-iras Cina. Mungkin kerana usia saya yang masih mentah maka mudah sahaja saya mentafsir keturunan seseorang itu tanpa melihat atau mengenalinya dengan lebih dekat.

Faktor kedua yang menyebabkan saya teringin mengetahui tentangnya ialah saya sering terserempak dia berada dalam kerumunan pelajar-pelajar sekolah menengah. Biasanya pelajar perempuan pula tu. Wah, apakah keistimewaannya dia ini? Dan memang pun, tidak lama kemudian, saya terdengar pelajar-pelajar ini memanggilnya ‘cikgu’.

Kekerapannya bertamu di DBP bersama gerombolan pelajarnya menyebabkan saya menyangka dia adalah seorang guru sekolah menengah yang mengajar mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Pastinya pelajar-pelajar ini mengikuti lawatan sambil belajar dengan iringannya.

Oktober 2003, dunia kesusasteraan Melayu dikejutkan dengan berita pemergian seorang tokoh yang disegani dan disayangi ramai. Yang agak mengharukan pada diri saya secara peribadi, tokoh ini pergi tanpa sempat menemui kembali anak lelaki sulung yang disayanginya yang hilang tanpa khabar - Hizairi.

Saya baru selesai menamatkan pembacaan Siri Biografi Untuk Pelajar - Biografi Othman Puteh. Di sini saya mengenali peribadi beliau, ketokohannya, perjuangannya dan semangatnya yang tidak pernah pudar menyemai benih-benih sastera untuk tumbuh subur dalam jiwa remaja. Tidak hairanlah kalau beliau begitu disayangi terutama oleh pelajar-pelajarnya. Al-Fatehah buat beliau, Allahyarham Prof. Madya Dr. Haji Othman Puteh.

*sumber: http://amizakhusyri.blogspot.com/2004_10_01_archive.html

Selesai baca ‘Paradise’

Posted on June 13, 2007 by anum78.
Categories: Books.

Dua orang teman sepejabat (pada masa dan hari yang berlainan), mengambil ‘Paradise’ yang sengaja saya letakkan di rak kecil berhampiran meja saya. Kedua-duanya mengutarakan pertanyaan yang sama, "Macam mana awak baca buku ni? Boleh faham ke?"

Saya pandang wajah si penanya, "Saya baca buku ini ikut perenggan. Saya faham idea dalam setiap perenggan. Memang ada beberapa perkataan Indonesia yang saya kurang faham dalam buku ini. Tetapi saya cuba memahaminya selepas membaca setiap perenggan. Saya ambil ideanya kemudian saya tahulah ceritanya."

Sang penanya mengangguk. Namun wajah mereka mempamerkan kerutan tidak faham.

Alhamdulillah, petang semalam, saya berjaya menghabiskan bacaan ‘Paradise’. Sedang berkira-kira bila pula hendak memulakan penulisan resensinya.

Sambil itu, baca ‘Biografi Othman Puteh’ oleh Ali Majod. Ada penemuan baru bagi diri saya di sini.

Tazkirah - Makanan Halal

Posted on June 5, 2007 by anum78.
Categories: Religion.

Assalamualaikum wbt.

Pagi tadi, dalam perjalanan ke pejabat, kawan yang saya tumpangi membuka siaran Ikim.FM. Seperti biasa, sekitar 6.40 pg, ada segmen tazkirah.

Pagi ini, ustaz bercakap tentang kepentingan mengajar anak-anak memahami perbezaan halal dan haram terutamanya dalam pemilihan makanan dan seterusnya dalam tingkah laku dan perbuatan. Anak-anak kecil perlu dididik mengetahui makna halal, haram, perkara halal, perkara haram, makanan halal, dan makanan haram. Kita sebagai ibu bapa pula bertanggungjawab memastikan sumber makanan anak-anak dan keluarga adalah dari sumber yang halal.

Pentingnya menjaga halal haram pemakanan keluarga utamanya anak-anak adalah demi memastikan hati anak-anak lembut, mudah menerima kebaikan, mudah menerima pelajaran dan memandang dunia dari perspektif Islam bukan dari kaca mata kafir laknat.

Ustaz juga menempelak kebanyakan ibu bapa yang lebih mudah mengajar anak cerita-cerita dongeng/tahyul berbanding kisah-kisah nabi, mengajak anak menghafaz lagu-lagu barat berbanding menghafaz hadis nabi. (Aduuhh, terkena batang hidung sendiri. Mujur saya ada membeli cd "Assalamualaikum" utk Sufiah di samping "The Ice Age", dan "Old MacDonald Had A Farm".)

Buku dan Cita-cita

Posted on June 4, 2007 by anum78.
Categories: Books.

Petang semalam, saya ke PDM dengan tujuan mencari buku ‘Terminal Tiga’, ‘Biografi Othman Puteh’ dan ‘Penghayatan Novel Terminal Tiga’. Oh, saya terlambat agaknya. Buku Penghayatan Novel tu tiada dalam simpanan PDM. Terpaksalah saya minta pada Fadz.

Ketika menunggu buku-buku yang saya pinjam diimbas oleh Kerani Kaunter PDM, sempat saya berbual-bual dengan si manis Zaza.

Saya teringat saat-saat sekolah. Saya menjadi Pustakawan masa darjah 3, mengurus Sudut Bacaan di dalam kelas 3 Teratai.

Ketika darjah 4, saya berjaya menjawat jawatan pustakawan untuk mengurus perpustakaan sekolah. Seronoknya sebab saya boleh pinjam 3 buah buku sekaligus berbanding ahli biasa yang cuma boleh pinjam 2 buah buku sahaja. Masa tu, saya gemar membaca siri Noddy, dan siri-siri penyiasatan Enid Blyton, Nancy Drew dan Hardy Boys. Siri Ceritalah Lagi dan Tidrulah Intan pun menjadi kesayangan saya. Ketika itu saya belum kenal lagi nama-nama penulis besar tanah air. Saya menjadi pustakawan sehingga darjah 6.

Di sekolah menengah, sekali lagi saya mencuba nasib untuk menjadi pustakawan. Alhamdulillah, saya berjaya menjawat jawatan tersebut ketika di tingkatan 2 dan berterusan hingga ke tingkatan 5. Kalau tak silap saya, ketika ini saya boleh pinjam 4 buah buku sekaligus. Apa lagi, keghairahan membaca tulisan-tulisan sasterawan negara ketika itu tidak terbendungkan. Dan saya sentiasa ingin jadi orang pertama yang meminjam buku-buku terbaru di perpustakaan.

Saya bangga kerana saya telah membaca cerpen-cerpen Abdul Rahim Kajai dan Pak Sako. Saya juga bangga kerana saya telah puas mengulit cerpen-cerpen Datuk A. Samad Said yang dihimpun menjadi sebuah buku tebal macam kamus besar Bahasa Indonesia. Saya tak boleh lupa dengan novel ‘Hatimu Aisyah’ karya Zurinah Hassan.

Ketika inilah saya baca Hujan Pagi dan Daerah Zeni (A. Samad Said), Srengenge dan Detik-Detik Diri Di Daerah Daif (Shahnon Ahmad), Sakura Mengorak Kelopak, Kuntum Tulip Biru, Bunga Dari Kuburan, dan Panrita (Arena Wati), Tulang-tulang Berserakan (Usman Awang), Panglima Salleh Selempang Merah (Zaharah Nawawi), Hijrah (Siti Rahmah G. Ibrahim), Syonagar (Hizairi Othman)  dan pelbagai judul lagi - kebanyakannya novel.

Masa itu, dunia saya adalah dunia novel-novel yang saya baca. Saya tak kisah kalau tidak punya kawan. Cukup bagi saya sekiranya ada senaskhah buku di tangan. Itulah yang akan saya gulati hingga ke lembar terakhir.

Namun, luasnya dunia pembacaan saya tidak menjamin kelangsungan cita-cita saya. Impian saya untuk menjadi Pustakawan lebur apabila ketika saya sedang membuat pilihan kursus yang akan saya ikuti di peringkat ijazah. Baru saya tahu, sesi matrikulasi Sains Hayat yang saya ikuti selama 3 semester tidak mengizinkan saya untuk memilih kursus Sains Perpustakaan. Ia perlukan sijil STPM. Oh Tuhan, itulah kesilapan paling besar dalam hidup saya ….

Apa pun, saya doakan agar hati saya belum lagi tertutup untuk menyambung pengajian yang tersangkak 8 tahun lalu. Mungkin selepas ini saya akan menggenggam ijazah dalam bidang Pengurusan Teknologi dan Maklumat pula. (Thanks Zaza for the info)

Paradise

Posted on June 3, 2007 by anum78.
Categories: Books.

Saya sibuk sekarang - sedang membaca novel ‘Paradise’ karya AbdulRazak Gurnah. Membaca novel ini mengingatkan saya kepada ‘Ayat-ayat Cinta’. Ternyata tulisan ‘Hamka kecil’ itu dipengaruhi gaya tulisan penulis Timur Tengah.

‘Paradise’ lebih merupakan sebuah autobiografi. Nantilah, kalau saya berkesempatan, akan saya buat sedikit ulasan.

Demi menghabiskan ‘Paradise’, saya terpaksa ketepikan dua majalah hadiah teman: G-Files dan Nativiti. Minggu ini mungkin saya sekali lagi akan membaca ‘Terminal Tiga’ karya Othman Puteh atau sekurang-kurangnya membelek-belek ‘Biografi Othman Puteh’ oleh Ali Majod dan ‘Penghayatan Novel Terminal Tiga’ oleh Ruzaini Yahya untuk projek Galeri Novel. Oh, saya mesti segera ke PDM utk mendapatkan kedua-dua buku ini.