You are looking at posts that were written in the month of July in the year 2007.
| M | T | W | T | F | S | S |
|---|---|---|---|---|---|---|
| « Jun | Sep » | |||||
| 1 | ||||||
| 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 |
| 9 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14 | 15 |
| 16 | 17 | 18 | 19 | 20 | 21 | 22 |
| 23 | 24 | 25 | 26 | 27 | 28 | 29 |
| 30 | 31 | |||||
Semalam, 22 Julai 2007, jam 6.00 petang, saya jual barang-barang di bawah ini yang telah saya kumpul lebih dari tiga bulan (saya tak ingat berapa lama sebenarnya) kecuali kertas putih yang saya kumpul lebih dua tahun. Saya sahaja catat di sini sebagai rekod saya dan dorongan kepada saya untuk terus mengumpul lagi:
Jumlah keseluruhan: RM61.70.
Oh, mana saya dapat barang-barang tu semua?
Anda hendak mengumpul dan menjual barang-barang kitar semula seperti saya?
Pertamanya, pastikan anda ada ruang seperti bilik stor yang bersih dan tertutup.
Keduanya, pastikan barang-barang yang anda kumpul juga bersih, dan bebas dari reja makanan untuk mengelakkan semut/lipas/tikus dan bau yang tidak menyenangkan. Bayangkan, anda perlu kumpul barang-barang ini mungkin lebih dari enam bulan.
Kenapa mesti dikumpul? Ok, saya malas hendak menghantar barang-barang ini ke pusat kitar semula. Kebanyakan mereka hanya menerima tin aluminium, kertas putih dan surat khabar sahaja kerana barang-barang ini mempunyai harga yang ‘boleh tahan’ di pasaran. Plastik dan tin biasa berharga amat rendah dan tidak berbaloi. Oleh itu, saya mengumpul barang-barang ini di rumah dan bila dah banyak, saya panggil En. Azhar Sidek (014-2279958) untuk membeli barang-barang ini.
Ok, selamat mengitar semula!!
Tajuk Buku: Paradise
Pengarang: Abdulrazak Gurnah
Penerbit: Penerbit Hikmah (PT Mizan Publika), Indonesia, 2007
Sinopsis:
Namanya Yusuf dan usianya sekitar 12 tahun. Sebagai anak lelaki dalam keluarga yang sederhana, dia dilayan seperti biasa oleh ibu dan ayahnya. Dalam masa yang sama, Yusuf gemar akan kehadiran Paman Aziz. Setiap kali Yusuf menyalami Paman Aziz, salamnya tidak pernah kosong. Itu, amat menggembirakan hati kanak-kanaknya.
Satu hari, ibu menangis dan ayah memandang sayu wajahnya. Selepas itu, Yusuf dibawa pergi oleh Paman Aziz, seorang saudagar. Perjalanannya jauh - menaiki kereta api. Tiba di destinasi, Yusuf dititip kepada Khalil, seorang anak muda yang lebih tua darinya.
Khalil menguruskan sebuah kedai keperluan harian milik Paman Aziz. Di sini Yusuf didedahkan dengan ilmu pengurusan kedai. Dia juga kerap diusik oleh kerana kecantikan wajahnya.
Selain menguruskan kedai, Yusuf juga gemar menguruskan taman di kawasan rumah Paman Aziz. Tumbuh-tumbuhan yang hidup subur di taman itu mendamaikan dan sedikit demi sedikit mengurangkan kerinduannya kepada kedua ayah bonda. Meskipun Khalil sering menegaskan, Yusuf ‘dijual’ kepada Paman Aziz sebagai penebus hutang ayahnya, Yusuf amat payah hendak menerimanya.
Tidak lama kemudian, Yusuf dititipkan pula kepada Hamid Seuleiman, seorang pemilik toko di wilayah yang lain. Di sini, Yusuf bukan sahaja membantu tugas-tugas di kedai tetapi turut membantu Maimuna, isteri Hamid, membuat kerja-kerja rumah. Dia juga berkenalan, berkawan, dan belajar tentang jentera daripada Kalasinga, seorang Sikh dan belajar mengaji di madrasah. Satu ketika, hatinya terduga oleh kemesraan Asha, anak Hamid. Hal ini menyebabkan Maimuna berusaha merenggangkan Yusuf dari anak gadisnya.
Setahun kemudian, Yusuf terpilih pula untuk turut menganggotai rombongan dagangan Paman Aziz. Yusuf berdebar-debar, gembira bercampur gementar. Ternyata perjalanan kali ini sangat jauh. Sepanjang perjalanan, pelbagai ragam manusia dari pelbagai budaya dan kepercayaan menjadi hidangan matanya. Satu yang tidak dapat disangkal, kecantikan wajahnya sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesulitan Paman Aziz menghadapi dugaan dan karenah puak-puak di setiap kampung yang mereka lewati.
Pulang dari perjalanan yang jauh, Yusuf kembali menghambakan diri pada taman yang lama ditinggalkan. Nyata ketekunannya meladeni taman menambat hati sang Nyonya, isteri Paman Aziz. Sekali lagi hatinya diduga, bukan sahaja kerana kegerunannya terhadap sang Nyonya yang kononnya sakit tetapi juga kepada Amina, pelayan sang Nyonya, kakak Khalil. Hal ini akhirnya diketahui oleh Paman Aziz. Apakah Paman Aziz akan menghukumnya atas kesalahan ini? Mungkinkah Paman Aziz menghalaunya keluar dari rumah keduanya ini?
*****************************************************************************************
Rasa hati:
Saya merangkak-rangkak membaca novel terjemahan bahasa Indonesia ini. Tentulah kerana bahasanya. Mujur juga ia bukan bahasa basahan biasa maka saya membaca dengan memahami berdasarkan perenggan.
Bab-bab pertama novel ini mengingatkan saya kepada novel Ayat-Ayat Cinta. Lenggok bahasa yang hampir sama menyebabkan saya terfikir mungkin Abdulrazak Gurnah sedikit sebanyak mempengaruhi Habiburahman El-Sherazi. Namun, menekuni halaman seterusnya dalam novel ini, mengikat saya untuk cuba terus membaca hingga akhir. Pengalaman yang ditempuh Yusuf tidak indah, tetapi berjaya membuka mata saya tentang kehidupan yang didepani oleh penduduk Afrika Utara.
Paradise adalah kisah tentang perjalanan. Tiada syurga yang akan anda temui di sini melainkan keperitan menyerupai serpihan neraka di sana sini di dalam novel ini.
p/s: saya tak berjaya meletakkan resensi buku ini dalam ‘review’. Akan datang, saya rakamkan rasa hati saya berkenaan buku yang saya baca di sini sahaja.