Buku: Paradise

Posted on July 12, 2007 by anum78.
Categories: Books.

Paradise

Tajuk Buku: Paradise

Pengarang: Abdulrazak Gurnah

Penerbit: Penerbit Hikmah (PT Mizan Publika), Indonesia, 2007

Sinopsis:

Namanya Yusuf dan usianya sekitar 12 tahun. Sebagai anak lelaki dalam keluarga yang sederhana, dia dilayan seperti biasa oleh ibu dan ayahnya. Dalam masa yang sama, Yusuf gemar akan kehadiran Paman Aziz. Setiap kali Yusuf menyalami Paman Aziz, salamnya tidak pernah kosong. Itu, amat menggembirakan hati kanak-kanaknya.

Satu hari, ibu menangis dan ayah memandang sayu wajahnya. Selepas itu, Yusuf dibawa pergi oleh Paman Aziz, seorang saudagar. Perjalanannya jauh - menaiki kereta api. Tiba di destinasi, Yusuf dititip kepada Khalil, seorang anak muda yang lebih tua darinya.

Khalil menguruskan sebuah kedai keperluan harian milik Paman Aziz. Di sini Yusuf didedahkan dengan ilmu pengurusan kedai. Dia juga kerap diusik oleh kerana kecantikan wajahnya.

Selain menguruskan kedai, Yusuf juga gemar menguruskan taman di kawasan rumah Paman Aziz. Tumbuh-tumbuhan yang hidup subur di taman itu mendamaikan dan sedikit demi sedikit mengurangkan kerinduannya kepada kedua ayah bonda. Meskipun Khalil sering menegaskan, Yusuf ‘dijual’ kepada Paman Aziz sebagai penebus hutang ayahnya, Yusuf amat payah hendak menerimanya.

Tidak lama kemudian, Yusuf dititipkan pula kepada Hamid Seuleiman, seorang pemilik toko di wilayah yang lain. Di sini, Yusuf bukan sahaja membantu tugas-tugas di kedai tetapi turut membantu Maimuna, isteri Hamid, membuat kerja-kerja rumah. Dia juga berkenalan, berkawan, dan belajar tentang jentera daripada Kalasinga, seorang Sikh dan belajar mengaji di madrasah. Satu ketika, hatinya terduga oleh kemesraan Asha, anak Hamid. Hal ini menyebabkan Maimuna berusaha merenggangkan Yusuf dari anak gadisnya.

Setahun kemudian, Yusuf terpilih pula untuk turut menganggotai rombongan dagangan Paman Aziz. Yusuf berdebar-debar, gembira bercampur gementar. Ternyata perjalanan kali ini sangat jauh. Sepanjang perjalanan, pelbagai ragam manusia dari pelbagai budaya dan kepercayaan menjadi hidangan matanya. Satu yang tidak dapat disangkal, kecantikan wajahnya sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesulitan Paman Aziz menghadapi dugaan dan karenah puak-puak di setiap kampung yang mereka lewati.

Pulang dari perjalanan yang jauh, Yusuf kembali menghambakan diri pada taman yang lama ditinggalkan. Nyata ketekunannya meladeni taman menambat hati sang Nyonya, isteri Paman Aziz. Sekali lagi hatinya diduga, bukan sahaja kerana kegerunannya terhadap sang Nyonya yang kononnya sakit tetapi juga kepada Amina, pelayan sang Nyonya, kakak Khalil. Hal ini akhirnya diketahui oleh Paman Aziz. Apakah Paman Aziz akan menghukumnya atas kesalahan ini? Mungkinkah Paman Aziz menghalaunya keluar dari rumah keduanya ini?

*****************************************************************************************

Rasa hati:

Saya merangkak-rangkak membaca novel terjemahan bahasa Indonesia ini. Tentulah kerana bahasanya. Mujur juga ia bukan bahasa basahan biasa maka saya membaca dengan memahami berdasarkan perenggan.

Bab-bab pertama novel ini mengingatkan saya kepada novel Ayat-Ayat Cinta. Lenggok bahasa yang hampir sama menyebabkan saya terfikir mungkin Abdulrazak Gurnah sedikit sebanyak mempengaruhi Habiburahman El-Sherazi. Namun, menekuni halaman seterusnya dalam novel ini, mengikat saya untuk cuba terus membaca hingga akhir. Pengalaman yang ditempuh Yusuf tidak indah, tetapi berjaya membuka mata saya tentang kehidupan yang didepani oleh penduduk Afrika Utara.

Paradise adalah kisah tentang perjalanan. Tiada syurga yang akan anda temui di sini melainkan keperitan menyerupai serpihan neraka di sana sini di dalam novel ini.

p/s: saya tak berjaya meletakkan resensi buku ini dalam ‘review’. Akan datang, saya rakamkan rasa hati saya berkenaan buku yang saya baca di sini sahaja.

no comments yet.



Leave a comment

Names and email addresses are required (email addresses aren't displayed), url's are optional.

Comments may contain the following xhtml tags:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>