CA BAU KAN : realiti perempuan simpanan?

Posted on July 23, 2008 by anum78.
Categories: Books.

Ca_bau_kan_1Ca Bau Kan adalah satu lagi judul yang dipinjamkan oleh ketua saya, Pn. Hjh Ratna Inzah. Bagai ‘Salina’ karya A. Samad Said, kisah ini lebih panjang, malah merentasi beberapa zaman iaitu sedari zaman penjajahan Belanda, pemerintahan Jepun dan selepas kemerdekaan Indonesia.

Karya Remy Sylado ini dimulakan dengan catatan Geok Lan (yang telah diangkat oleh keluarga Belanda) terbang ke Indonesia untuk mencari tinggalan leluhurnya. Tanpa disangka, pencariannya bukan sahaja diakhiri dengan pertemuannya dengan adik kandungnya, tetapi turut membuka selembar kisah duka ibunya dan rahsia pembunuhan ayahnya.

Menghadami Ca Bau Kan, menuntut kesabaran saya oleh kerana ia ditulis dalam bahasa Indonesia. Namun seperti pengalaman yang lalu, saya gagahi juga novel ini kerana setiap kisah yang tertulis di dalamnya begitu mendebarkan, kadangkala menjentik naluri kewanitaan saya juga ada waktunya membuakkan rasa marah dan benci ke atas watak-watak kejam di sekeliling Siti Nurhayati (Tinung), gadis kecil yang naif, pasrah dan dianggap sial oleh keluarga.

Selain itu, dua orang saudagar Cina dengan nama yang sama iaitu Tan Peng Liang, turut memainkan peranan besar dalam novel ini. Kedua-dua Tan Peng Liang pernah menjadikan Tinung sebagai ca bau kan mereka. Bezanya, Tan Peng Liang yang pertama menyimpan Tinung di sebuah rumah rahsia di tengah kebun dan dikawal ketat oleh orang-orang suruhannya. Tan Peng Liang yang kedua pula mengambil Tinung secara sah (mengikut adat nenek-moyangnya) sebagai isteri kedua. Tan Peng Liang inilah yang meniup roh ‘wanita’ sebenar dalam diri Tinung, memberinya makna cinta, melengkapi rumah tangga dengan sepasang cahaya mata dan penyebab dirinya diperhamba nafsu buas askar Jepun. Atas nama cinta, Tinung berjaya mengharungi saat-saat paling gelap dalam hidupnya. Persoalannya tentang cinta Tan Peng Liang juga yang mengakhiri nafasnya.

Sebenarnya, selain kisah cinta, Ca Bau Kan juga ada patriotisme, perjuangan, petualangan, perniagaan, dengki khianat, dan kepercayaan. Terpulang kepada bagaimana anda menanggapi kisah ini.

Bacalah Ca Bau Kan. Hiruplah setiap titis kasih dalam nafas Tinung. Sematkan semangat waja dan kesateria Tan Peng Liang.

Selamat membaca.

p/s: novel ini telah difilemkan.