setitis embun pagi






         ada rasa, ada jiwa, ada komen? e-mel saya di hanum@dbp.gov.my

July 21, 2008

SAGA HORIZON: Bila Manusia Diburu

Filed under: Books — anum78 @ 8:02 pm

Salam,

Telah lama saya tidak mengemas kini blog ini. Maklumlah, situasi politik negara yang sentiasa hangat dan kadang kala mencemaskan membuatkan kotak e-mel saya melimpah-ruah dan menuntut setiap saat yang saya ada untuk membacanya.

Baiklah, di bawah ini, saya tuliskan pandangan saya mengenai buku SAGA HORIZON terbitan Alaf21 hasil karya teman baik saya. Moga anda semua terhibur dan berminat untuk membaca buku ini.

Oh ya, anda boleh baca catatan penulis ini mengenai pelbagai buku bacaannya di kububuku atau membeli buku ini di Alaf 21.

Selamat membaca.

*************************************************************************

Saga1

SAGA HORIZON: Apabila Manusia Diburu Jembalang

Sejujurnya, saya bukanlah peminat genre sains fiksyen sama ada cerpen, novel atau filem. Namun demikian, ada beberapa drama genre ini yang gemar saya tonton seperti ‘Star Trek’ dan ‘Mutant X’. Jika anime boleh dikategorikan dalam genre yang serupa, maka ‘Doraemon’, ‘Kiteretsu’, dan ‘Avatar: The Legend of Ang’ adalah antara yang saya gemari.

Memiliki ‘Saga Horizon’ adalah sokongan jitu yang dapat saya berikan kepada seorang teman bernama Fadli Al-Akiti (Fadz). Dengan fikiran positif, saya menekuni halaman demi halaman. Sungguh, saya tidak sangka, ‘Saga Horizon’ memberikan lebih dari satu kisah biasa. Ia ada matlamat, ia punyai amanat. Terpulang kepada bagaimana anda menerjemahkan maksudnya yang tersirat.

‘Saga Horizon’ memulakan halamannya dengan debar Rogue, askar upahan Markas Verhoven dan angkatannya menanti serangan Jembalang Bertulang Besi dan turunnya hujan asid. Dalam pertempuran ini, Rogue kehilangan teman yang paling akrab iaitu Marc.

Ketika mengebumikan jenazah Marc, Jafni, orang kanan Ummi meminjamkan cangkul. Tanpa Rogue ketahui, pertemuan seterusnya dengan Jafni dan setiap langkahnya selepas itu menepati ramalan Ihsan, anak Ummi.

Rogue kemudiannya mengetuai satu misi penting iaitu mendapatkan cip otak jembalang dari kepala Licik. Tugasnya dibantu oleh Pedang Shashqa milik Ummi dan tiga orang askar upahan iaitu Cino, Jimbo dan Derrick. Turut serta dalam misi berkenaan ialah sang pencatat iaitu Periwayat Sobri.

Dalam pertempuran sengit yang hampir menamatkan riwayat mereka berempat, Rogue berjaya membawa pulang kepala Licik ke Markas Verhoven. Cip otak jembalang yang dikeluarkan dari kepala Licik dianalisis oleh pawang-pawang di sana. Penemuan cip otak berkenaan merungkai sebuah misteri iaitu mengapa dan bagaimana selama ini Jembalang Bertulang Besi memburu manusia. Namun cip berkenaan turut menimbulkan dua nama baru iaitu Maisara dan Asain? Siapakah kedua-dua nama ini? Apa kaitan mereka dengan pemburuan manusia yang dilakukan oleh Jembalang Bertulang Besi? Apakah mereka mempunyai kaitan dengan kejadian Malapetaka Maha yang telah meruntuhkan bukti ketamadunan manusia?

Demikian Bahagian Satu ‘Saga Horizon’ membangkitkan debar di jiwa saya. Tidak sabar saya ingin menelusuri Bahagian Dua: Sebelum Malapetaka Maha dan Bahagian Tiga: Perang Asain bagi mencari jawapan kepada setiap persoalan di atas walaupun mata sedikit pedih kerana penat ‘menangkap’ setiap patah kata akibat saiz huruf yang agak kecil.

Sebenarnya, perkara pertama yang menambat saya untuk terus membaca ‘Saga Horizon’ sudah tentulah susunan bahasa yang menyegarkan. Tiada ayat-ayat lewah yang merimaskan. Tiada ayat-ayat melankolik yang meloyakan. Setiap kata yang dipilih begitu tepat dan kena dengan ceritanya, cukup untuk menggambarkan situasi malah membangkitkan deria pada setiap peristiwa.

Saya dapat merasakan kegusaran, rimas dan panas para askar upahan ketika menanti arahan Rogue di tengah kehangatan padang pasir Sempadan Utara Cokmar. Saya teruja oleh semangat Marc yang ingin lari dari perlindungan dan bayang-bayang Rogue. Hati saya tersayat dalam raungan perempuan-perempuan yang meratapi longgokan mayat di hulu pasar terpakai Sempadan Ahzim. Saya bagai terdengar salakan mengerikan Orang Makan Orang berebut-rebut memilih bangkai manusia sebagai hidangan mereka. Saya merasakan kepiluan berbaur dendam yang marak membakar setiap kali Rogue menghayunkan Pedang Shashqa menebas jembalang-jembalang yang berusaha membunuhnya.

Fadz begitu bijak menjentik emosi dan menggambar situasi sehingga setiap babak dalam novel ini umpama filem yang berputar tanpa henti. Pergerakan lancar setiap peristiwa membuatkan anda tidak mahu meninggalkan walau sepatah pun perkataan.

Sekali-sekala saya disedarkan oleh perkataan-perkataan asing (yang jarang digunakan sebenarnya). Antaranya ialah Pawang (yang dimaksudkan dengan ahli sains), sauk, dan nazwah. Sudah pasti pemilihan kata seperti ini membezakan ‘Saga Horizon’ daripada novel-novel lain dewasa ini, memperkayakan kosa kata pembaca dan bagi satu atau dua perkataan, ia memberikan makna baru yang tidak terfikirkan.

p/s: saya tak dapat habiskan catatan saya mengenai buku ini. Anda hendak tahu kisah selanjutnya? Sila dapatkan buku ini di pasaran :-)



1 Comment »

  1. hi there!
    I made on photoshop anime myspace banners.
    take a look at them:
    http://tinyurl.com/5bxl7f
    Thanks for your site :-) xoxoxo

      goggeklycep — December 2, 2008 @ 9:16 pm

RSS feed for comments on this post.

Leave a comment