Pernikahan di Lubuk Hantu: Bukan sekadar menikah!

Posted on November 17, 2008 by anum78.
Categories: Books.

Ini karya Rahman Shaari yang terbaru berjudul Pernikahan di Lubuk Hantu. Buku ini menarik. Best!! Heheheh. Kepada anda yang belum mengenal Rahman Shaari (Rahman), bacalah dahulu karyanya yang terdahulu, Burok dan Psikobabo.  Watak Lina Sepora dan Linda Seripah yang ada dalam kedua-dua novel berkenaan turut ada dalam novel ini. Tapi ini bukan sekuel, atau novel bersiri. Saya percaya, Rahman sengaja memasukkan nama2 ini untuk mengimbas kenangan pembaca. Secara tidak langsung, jika anda belum membaca Burok atau Psikobabo, pasti anda akan berusaha mendapatkannya selepasa membaca novel ini.

Secara peribadi, saya mengagumi Rahman. Beliau seorang yang berani. Beliau menulis isu sensitif, malah mungkin dianggap taboo bagi sesetengah ahli masyarakat. Beliau menyelami masalah dalam masyarakat yang kadangkala dipandang besar dan kadangkala dipandang sepi. Ada waktu, masalah seperti ini tidak dipandang langsung malah diusahakan untuk tidak pernah wujud dalam sejarah masyarakat Malaysia.

Dalam Pernikahan di Lubuk Hantu, beliau menggunakan medium psikoanalisis untuk menerangkan kepada masyarakat tentang ragam manusia, utamanya berkaitan perilaku seks yang pelik (seperti kisah orang tua singkap kain, tuan rumah intai penyewa di bilik air, individu yang suka mengumpul pakaian dalam orang lain dll) dan persoalan mengapa lelaki memadukan isteri mereka secara rahsia. Rahman turut menggambarkan emosi wanita yang diganggu lelaki miang dan wanita yang menjadi isteri kedua.

Selain isu ini, Rahman turut menyatakan pandangannya mengenai politik dan kepercayaan tahyul yang sebenarnya amat rapat dengan masyarakat. Tidak dinafikan, cerita politik tidak sekadar hangat di kedai kopi, di kaca televisyen malah hampir setiap hari menjadi tajuk utama akhbar. Begitu juga kisah-kisah tahyul, jampi serapah dan orang bunian, turut menjadi salah satu pengisian dalam perbualan masyarakat, malah mempunyai ruang khas di dada akhbar dan majalah. Ada pandangan sinis Rahman berkaitan isu ini. Pandangan ini secara tidak langsung bakal membuat kita tertanya-tanya, apakah benar yang kita dengar, baca dan lihat tentang tokoh-tokoh politik tertentu dan tokoh-tokoh agama tertentu?

Setiap konflik yang diwujudkan dalam Pernikahan Di Lubuk Hantu dijalin dengan kemas. Tidak ada watak hitam putih - semua watak diberi pelbagai warna. Saya menyenangi hal ini kerana inilah realiti.

Sedikit isi novel ini, ia memerihalkan seorang tokoh psikoanalisis iaitu Kapten Abeh Jantana, penasihat Kelab Budaya Kajang (KEBUKA) yang digambarkan sebagai bukan sahaja  penulis, pengarah dan pelakon, tetapi juga penceramah topik2 psikoanalisis. Orang kanan Kapten Abeh, Laksamana Yahya pengerusi Kelab Budaya Ulu Kelang (KEBULU), juga seorang penulis, pengarah dan pelakon. Masing-masing punya isteri kedua, yang dinikahi di Lubuk Hantu. Karekter isteri-isteri kedua ini juga tidak kurang hebatnya. Dayang Tusix, isteri Kapten Abeh, seorang tokoh feminisme dari Sarawak manakala Siti Ofisa, isteri Laksamana seorang penyanyi nasyid dan johan pidato di Sabah.

Turut sama mewarnai novel ini ialah watak dua beradik berlainan ibu, Kamel Do dan Manan Do, anak Pak Doraimon. Dua generasi inilah yang mempunyai perilaku seks yang pelik, yang terpaksa (akhirnya menjadi tabiat) melakukan keganjilan tertentu bagi melampiaskan nafsu mereka. Bezanya Kamel Do memerlukan ineraksi dua hala dengan mengganggu/menggoda wanita-wanita yang berkenan di hatinya manakala Manan Do cukup sekadar mengumpul pakaian dalam wanita yang dicuri. Hal ini tidak dianggap pelik memandangkan Pak Doraimon turut mempunyai keganjilannya yang tersendiri.

Hem, bagaimana agaknya kisah-kisah ini dijalin dan apakah konflik yang ditimbulkan Rahman melalui Pernikahan di Lubuk Hantu? Anda perlu mendapatkan novel ini di pasaran.

Kesimpulannya, saya berpuas hati dengan ilmu-ilmu psikoanalisis yang terkandung dalam novel ini. Cuma, saya berharap, Rahman di waktu akan datang menghasilkan pula sebuah novel lain yang menunjuk jalan ke arah penyelesaian (pengubatan/pembendungan) masalah masyarakat yang telah dilukiskan dengan baik dalam Pernikahan di Lubuk Hantu.

Resensi novel di Tunas Cipta

Posted on November 11, 2008 by anum78.
Categories: Books.

Salam,

Kadang-kala saya menulis resensi untuk majalah2 di DBP. Untuk bulan Jun 2008, saya telah menulis resensi buku2 di bawah bagi majalah Tunas Cipta. Saya siarkan kembali resensi berkenaan (yang belum diedit) untuk tatapan anda. Moga ia berjaya memujuk anda untuk sama-sama menghadam novel2 ini.

Selamat membaca.

**********************************************************************

BARA YANG MENYALA

Penulis: Jaya Ramba

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM18

Bee Fatt mengambil langkah terpuji apabila bersetuju mendermakan sepasang mata mendiang isterinya. Namun langkah ini semakin membuakkan kebencian bapa mertuanya, Datuk Hin Huat Ba. Nilam, gadis yang menerima sepasang mata itu terpaksa hidup sendirian apabila abangnya, Ba Man dipenjarakan kerana merompak Datuk Hin bagi menjelaskan bil pembedahan adiknya. Peguam Lan Liew yang tamakkan harta, merancang pelbagai helah demi mendapatkan harta Datuk Hin. Dalam masa yang sama dia juga menuntut hak penjagaan terhadap Mary, gadis kecil berusia lima tahun dari tangan bekas isterinya Christi. Dia juga cuba menggoda Nilam apabila mendapat tahu gadis berkenaan adalah anak kandung Datuk Hin. Berjayakah Nilam menepis godaan Peguam Lan Liew? Mampukah Christi menghalang tuntutan lelaki yang telah membuat dia merana dan hampir membunuh diri? Bagaimana Nilam meneruskan kelangsungan hidup tanpa abang kandung di sisinya? Apakah punca Datuk Hin membenci Bee Fatt? Hayatilah konflik keluarga yang meruntun jiwa melalui Bara Yang Menyala. Hanya kasih sayang sesama manusia yang dapat menyelesaikan setiap persoalan.

*****************************************************************************

DESIR ANGIN DI PERGUNUNGAN

Penulis: Mohamad Kholid Hamzah

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM20

Menjadikan buluh sebagai produk kraf dan perabot mungkin kedengaran agak asing bagi warga Malaysia. Apatah lagi dominasi rotan sebagai bahan anyaman utama telah terserlah seantero dunia. Mendirikan chalet berteraskan buluh seratus peratus (termasuk perabot dan hiasan dalaman) juga suatu pembaharuan. Hanya kesabaran, usaha tanpa jemu dilengkapi idea kreatif dan dinamis dapat merealisasikan impian. Desir Angin di Pergunungan menyaksikan kegigihan Nadzli, anak muda Gunung Semangkok beserta Suraya, seorang ibu tunggal dengan kelulusan Ijazah Sains Perhutanan dari University of Canterbury, New Zealand, berganding bahu menjadikan buluh bukan sahaja sebagai tanaman komersial dengan hasil anyaman atas nama Buluh Kraf sebagai produk utama malah menjadi gerbang kepada industri pelancongan negara dengan pembinaan beberapa chalet berkonsepkan buluh atas nama Chalet Peranginan Gunung Semangkok. Selain itu, novel ini turut memaparkan pergolakan jiwa Nadzli dalam memilih pasangan hidupnya iaitu antara Suraya yang telah diterima baik oleh ibunya atau Ai Lin, pemilik Warnasari, sebuah syarikat dari Singapura yang menjalankan kerjasama dengan Buluh Kraf. Desir Angin di Pergunungan turut menyelami konflik jiwa yang melanda Suraya sebagai seorang anak angkat yang mencari kembali akar umbi keluarga kandungnya.

  ******************************************************

GARIS-GARIS DEJA VU

Penulis: John Norafizan

Penerbit: Jemari Seni Publishing

Harga: RM22

Ashraf mengembara ke bumi Jordan meninggalkan Nini yang berbadan dua kerana mencari Laila, cintanya yang ditinggalkan hampir sedekad. Suraya berkelana di Manchanster setelah dikecewakan oleh Father Thomas Rodriguez dan terlepas ikatan syahadah. Nini tenggelam dalam hangat asmara Sedek yang membibitkan benih terlarang sebelum bertemu dengan cinta tulus Numair, seorang pejuang pembebasan Palestin. Garis-Garis Deja Vu menghimpunkan kisah cinta antara benua. Ia turut menyelami pergolakan jiwa kanak-kanak melalui watak Damien, seorang anak kecil berusia 10 tahun, yang tabah mengharungi kesunyian setelah ditinggalkan ayahnya saat ibunya terlantar koma di hospital dan Sulaiman yang juga berusia 10 tahun, tenang menghadapi kesukaran mencari ayah kandung di bumi asing, kota London meninggalkan keluarga yang dikasihi di bumi Jordan. Garis-Garis Deja Vu juga mengungkai makna persahabatan antara Suraya dan teman serumahnya Eilin, dan antara Jenny, si pembuli dan Damien walaupun mereka berbeza pegangan agama.

 

************************************************************************

MENARA

Penulis: Nasrudin Mohammed

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM20

Permainan politik bukan sahaja dalam urusan pemerintahan negara malah ia ada dalam hampir setiap ruang kehidupan. Barisan pentadbiran di institusi pengajian tinggi tidak terkecuali dalam permainan ini. Ada yang menggunakan pengaruh bagi mengabui pemerintahan tertinggi dalam melobi kenaikan pangkat. Ada juga yang menggunakan taktik psikologi untuk mendapatkan ruang yang selesa dalam barisan pentadbiran. Menara mencatatkan monolog diri Dr. Halil bin Shukran, dekan sebuah fakulti di universiti yang mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan setelah kecewa dengan tiupan fitnah ke atas dirinya. Halil kecewa kerana pengabdiannya sepanjang berkhidmat dengan universiti disalahertikan. Malah pengetahuan yang dimilikinya dipandang oleh musuh-musuhnya sebagai satu ancaman hingga menyebabkan dia perlu disingkirkan. Menara menyelami kekecewaan ini dan melihat sebuah permainan yang menyerlahkan warna sebenar musuh dan rakan.   

 

*******************************************************************************

 

TIRANI

Penulis: Beb Sabariah

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM22

Dilahirkan dengan hidung pesek, Waheeda menjadi mangsa ejekan rakan sepersekolahan. Namun ejekan ini juga menjadikan Waheeda tabah, percaya diri dan bekerja kuat menguruskan Tajau Emas, rumah tumpangan keluarganya yang berkonsepkan homestay, di daerah Matang, Kuching, Sarawak. Jauh di sudut hati, Waheeda menanam keinginan untuk membuat sedikit perubahan pada wajahnya bagi ‘memperbaiki, memulih dan memperkemas diri’. Setelah menyerahkan pengurusan Tajau Emas kepada sepupunya, Fatimah, Waheeda terbang ke Singapura bagi merealisasikan impiannya. Dalam tempoh pemantauan, Waheeda bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Hotel Flamingo. Di Flamingo, Waheeda bertemu jodoh dengan Zahid, anak Datuk Yaseer, yang juga rakan niaga Tajau Emas melalui Syarikat Bahterangkut. Namun mahligai indah yang dibina mulai goyah ketika kandungan Waheeda baru berusia tiga bulan. Mampukah Waheeda  mempertahankan ikatan pernikahannya? Apakah musibah yang menimpa merupakan taruhan kepada impian yang telah tertunai?Tirani mengungkap akibat kesan pembedahan komestik bukan sahaja ke atas individu yang berkenaan tetapi lebih jauh lagi melangkaui susur galur generasi berikutnya.