You are looking at posts that were written on November 11, 2008.
| M | T | W | T | F | S | S |
|---|---|---|---|---|---|---|
| « Sep | May » | |||||
| 1 | 2 | |||||
| 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9 |
| 10 | 11 | 12 | 13 | 14 | 15 | 16 |
| 17 | 18 | 19 | 20 | 21 | 22 | 23 |
| 24 | 25 | 26 | 27 | 28 | 29 | 30 |
Salam,
Kadang-kala saya menulis resensi untuk majalah2 di DBP. Untuk bulan Jun 2008, saya telah menulis resensi buku2 di bawah bagi majalah Tunas Cipta. Saya siarkan kembali resensi berkenaan (yang belum diedit) untuk tatapan anda. Moga ia berjaya memujuk anda untuk sama-sama menghadam novel2 ini.
Selamat membaca.
**********************************************************************
Penulis: Jaya Ramba
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM18
Bee Fatt mengambil langkah terpuji apabila bersetuju mendermakan sepasang mata mendiang isterinya. Namun langkah ini semakin membuakkan kebencian bapa mertuanya, Datuk Hin Huat Ba. Nilam, gadis yang menerima sepasang mata itu terpaksa hidup sendirian apabila abangnya, Ba Man dipenjarakan kerana merompak Datuk Hin bagi menjelaskan bil pembedahan adiknya. Peguam Lan Liew yang tamakkan harta, merancang pelbagai helah demi mendapatkan harta Datuk Hin. Dalam masa yang sama dia juga menuntut hak penjagaan terhadap Mary, gadis kecil berusia lima tahun dari tangan bekas isterinya Christi. Dia juga cuba menggoda Nilam apabila mendapat tahu gadis berkenaan adalah anak kandung Datuk Hin. Berjayakah Nilam menepis godaan Peguam Lan Liew? Mampukah Christi menghalang tuntutan lelaki yang telah membuat dia merana dan hampir membunuh diri? Bagaimana Nilam meneruskan kelangsungan hidup tanpa abang kandung di sisinya? Apakah punca Datuk Hin membenci Bee Fatt? Hayatilah konflik keluarga yang meruntun jiwa melalui Bara Yang Menyala. Hanya kasih sayang sesama manusia yang dapat menyelesaikan setiap persoalan.
*****************************************************************************
Penulis: Mohamad Kholid Hamzah
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM20
Menjadikan buluh sebagai produk kraf dan perabot mungkin kedengaran agak asing bagi warga Malaysia. Apatah lagi dominasi rotan sebagai bahan anyaman utama telah terserlah seantero dunia. Mendirikan chalet berteraskan buluh seratus peratus (termasuk perabot dan hiasan dalaman) juga suatu pembaharuan. Hanya kesabaran, usaha tanpa jemu dilengkapi idea kreatif dan dinamis dapat merealisasikan impian. Desir Angin di Pergunungan menyaksikan kegigihan Nadzli, anak muda Gunung Semangkok beserta Suraya, seorang ibu tunggal dengan kelulusan Ijazah Sains Perhutanan dari University of Canterbury, New Zealand, berganding bahu menjadikan buluh bukan sahaja sebagai tanaman komersial dengan hasil anyaman atas nama Buluh Kraf sebagai produk utama malah menjadi gerbang kepada industri pelancongan negara dengan pembinaan beberapa chalet berkonsepkan buluh atas nama Chalet Peranginan Gunung Semangkok. Selain itu, novel ini turut memaparkan pergolakan jiwa Nadzli dalam memilih pasangan hidupnya iaitu antara Suraya yang telah diterima baik oleh ibunya atau Ai Lin, pemilik Warnasari, sebuah syarikat dari Singapura yang menjalankan kerjasama dengan Buluh Kraf. Desir Angin di Pergunungan turut menyelami konflik jiwa yang melanda Suraya sebagai seorang anak angkat yang mencari kembali akar umbi keluarga kandungnya.
******************************************************
Penulis: John Norafizan
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Harga: RM22
Ashraf mengembara ke bumi Jordan meninggalkan Nini yang berbadan dua kerana mencari Laila, cintanya yang ditinggalkan hampir sedekad. Suraya berkelana di Manchanster setelah dikecewakan oleh Father Thomas Rodriguez dan terlepas ikatan syahadah. Nini tenggelam dalam hangat asmara Sedek yang membibitkan benih terlarang sebelum bertemu dengan cinta tulus Numair, seorang pejuang pembebasan Palestin. Garis-Garis Deja Vu menghimpunkan kisah cinta antara benua. Ia turut menyelami pergolakan jiwa kanak-kanak melalui watak Damien, seorang anak kecil berusia 10 tahun, yang tabah mengharungi kesunyian setelah ditinggalkan ayahnya saat ibunya terlantar koma di hospital dan Sulaiman yang juga berusia 10 tahun, tenang menghadapi kesukaran mencari ayah kandung di bumi asing, kota London meninggalkan keluarga yang dikasihi di bumi Jordan. Garis-Garis Deja Vu juga mengungkai makna persahabatan antara Suraya dan teman serumahnya Eilin, dan antara Jenny, si pembuli dan Damien walaupun mereka berbeza pegangan agama.
************************************************************************
Penulis: Nasrudin Mohammed
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM20
Permainan politik bukan sahaja dalam urusan pemerintahan negara malah ia ada dalam hampir setiap ruang kehidupan. Barisan pentadbiran di institusi pengajian tinggi tidak terkecuali dalam permainan ini. Ada yang menggunakan pengaruh bagi mengabui pemerintahan tertinggi dalam melobi kenaikan pangkat. Ada juga yang menggunakan taktik psikologi untuk mendapatkan ruang yang selesa dalam barisan pentadbiran. Menara mencatatkan monolog diri Dr. Halil bin Shukran, dekan sebuah fakulti di universiti yang mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan setelah kecewa dengan tiupan fitnah ke atas dirinya. Halil kecewa kerana pengabdiannya sepanjang berkhidmat dengan universiti disalahertikan. Malah pengetahuan yang dimilikinya dipandang oleh musuh-musuhnya sebagai satu ancaman hingga menyebabkan dia perlu disingkirkan. Menara menyelami kekecewaan ini dan melihat sebuah permainan yang menyerlahkan warna sebenar musuh dan rakan.
*******************************************************************************
Penulis: Beb Sabariah
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM22
Dilahirkan dengan hidung pesek, Waheeda menjadi mangsa ejekan rakan sepersekolahan. Namun ejekan ini juga menjadikan Waheeda tabah, percaya diri dan bekerja kuat menguruskan Tajau Emas, rumah tumpangan keluarganya yang berkonsepkan homestay, di daerah Matang, Kuching, Sarawak. Jauh di sudut hati, Waheeda menanam keinginan untuk membuat sedikit perubahan pada wajahnya bagi ‘memperbaiki, memulih dan memperkemas diri’. Setelah menyerahkan pengurusan Tajau Emas kepada sepupunya, Fatimah, Waheeda terbang ke Singapura bagi merealisasikan impiannya. Dalam tempoh pemantauan, Waheeda bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Hotel Flamingo. Di Flamingo, Waheeda bertemu jodoh dengan Zahid, anak Datuk Yaseer, yang juga rakan niaga Tajau Emas melalui Syarikat Bahterangkut. Namun mahligai indah yang dibina mulai goyah ketika kandungan Waheeda baru berusia tiga bulan. Mampukah Waheeda mempertahankan ikatan pernikahannya? Apakah musibah yang menimpa merupakan taruhan kepada impian yang telah tertunai?Tirani mengungkap akibat kesan pembedahan komestik bukan sahaja ke atas individu yang berkenaan tetapi lebih jauh lagi melangkaui susur galur generasi berikutnya.