Pernikahan di Lubuk Hantu: Bukan sekadar menikah!

Posted on November 17, 2008 by anum78.
Categories: Books.

Ini karya Rahman Shaari yang terbaru berjudul Pernikahan di Lubuk Hantu. Buku ini menarik. Best!! Heheheh. Kepada anda yang belum mengenal Rahman Shaari (Rahman), bacalah dahulu karyanya yang terdahulu, Burok dan Psikobabo.  Watak Lina Sepora dan Linda Seripah yang ada dalam kedua-dua novel berkenaan turut ada dalam novel ini. Tapi ini bukan sekuel, atau novel bersiri. Saya percaya, Rahman sengaja memasukkan nama2 ini untuk mengimbas kenangan pembaca. Secara tidak langsung, jika anda belum membaca Burok atau Psikobabo, pasti anda akan berusaha mendapatkannya selepasa membaca novel ini.

Secara peribadi, saya mengagumi Rahman. Beliau seorang yang berani. Beliau menulis isu sensitif, malah mungkin dianggap taboo bagi sesetengah ahli masyarakat. Beliau menyelami masalah dalam masyarakat yang kadangkala dipandang besar dan kadangkala dipandang sepi. Ada waktu, masalah seperti ini tidak dipandang langsung malah diusahakan untuk tidak pernah wujud dalam sejarah masyarakat Malaysia.

Dalam Pernikahan di Lubuk Hantu, beliau menggunakan medium psikoanalisis untuk menerangkan kepada masyarakat tentang ragam manusia, utamanya berkaitan perilaku seks yang pelik (seperti kisah orang tua singkap kain, tuan rumah intai penyewa di bilik air, individu yang suka mengumpul pakaian dalam orang lain dll) dan persoalan mengapa lelaki memadukan isteri mereka secara rahsia. Rahman turut menggambarkan emosi wanita yang diganggu lelaki miang dan wanita yang menjadi isteri kedua.

Selain isu ini, Rahman turut menyatakan pandangannya mengenai politik dan kepercayaan tahyul yang sebenarnya amat rapat dengan masyarakat. Tidak dinafikan, cerita politik tidak sekadar hangat di kedai kopi, di kaca televisyen malah hampir setiap hari menjadi tajuk utama akhbar. Begitu juga kisah-kisah tahyul, jampi serapah dan orang bunian, turut menjadi salah satu pengisian dalam perbualan masyarakat, malah mempunyai ruang khas di dada akhbar dan majalah. Ada pandangan sinis Rahman berkaitan isu ini. Pandangan ini secara tidak langsung bakal membuat kita tertanya-tanya, apakah benar yang kita dengar, baca dan lihat tentang tokoh-tokoh politik tertentu dan tokoh-tokoh agama tertentu?

Setiap konflik yang diwujudkan dalam Pernikahan Di Lubuk Hantu dijalin dengan kemas. Tidak ada watak hitam putih - semua watak diberi pelbagai warna. Saya menyenangi hal ini kerana inilah realiti.

Sedikit isi novel ini, ia memerihalkan seorang tokoh psikoanalisis iaitu Kapten Abeh Jantana, penasihat Kelab Budaya Kajang (KEBUKA) yang digambarkan sebagai bukan sahaja  penulis, pengarah dan pelakon, tetapi juga penceramah topik2 psikoanalisis. Orang kanan Kapten Abeh, Laksamana Yahya pengerusi Kelab Budaya Ulu Kelang (KEBULU), juga seorang penulis, pengarah dan pelakon. Masing-masing punya isteri kedua, yang dinikahi di Lubuk Hantu. Karekter isteri-isteri kedua ini juga tidak kurang hebatnya. Dayang Tusix, isteri Kapten Abeh, seorang tokoh feminisme dari Sarawak manakala Siti Ofisa, isteri Laksamana seorang penyanyi nasyid dan johan pidato di Sabah.

Turut sama mewarnai novel ini ialah watak dua beradik berlainan ibu, Kamel Do dan Manan Do, anak Pak Doraimon. Dua generasi inilah yang mempunyai perilaku seks yang pelik, yang terpaksa (akhirnya menjadi tabiat) melakukan keganjilan tertentu bagi melampiaskan nafsu mereka. Bezanya Kamel Do memerlukan ineraksi dua hala dengan mengganggu/menggoda wanita-wanita yang berkenan di hatinya manakala Manan Do cukup sekadar mengumpul pakaian dalam wanita yang dicuri. Hal ini tidak dianggap pelik memandangkan Pak Doraimon turut mempunyai keganjilannya yang tersendiri.

Hem, bagaimana agaknya kisah-kisah ini dijalin dan apakah konflik yang ditimbulkan Rahman melalui Pernikahan di Lubuk Hantu? Anda perlu mendapatkan novel ini di pasaran.

Kesimpulannya, saya berpuas hati dengan ilmu-ilmu psikoanalisis yang terkandung dalam novel ini. Cuma, saya berharap, Rahman di waktu akan datang menghasilkan pula sebuah novel lain yang menunjuk jalan ke arah penyelesaian (pengubatan/pembendungan) masalah masyarakat yang telah dilukiskan dengan baik dalam Pernikahan di Lubuk Hantu.