Johor Baru yang Melarik Kenangan

Posted on June 9, 2009 by anum78.
Categories: Books.
johor baru

johor baru

Judul: Johor Baru

Penulis: Arena Wati

Penerbit: Penerbitan Pustaka Antara (cetakan kedua - 1982)

Mungkin kerana saya seorang yang sentimental. Atau mungkin saya kelihatan ortodoks. Saya amat menyenangi karya tahun 60-an, baik cerpen, novel, beberapa lagu dan filem (terutamanya Klasik FM). Kesenangan ini bukan baru tapi semenjak saya di sekolah rendah lagi, ketika pertama kali saya menemui buku ‘Kisah 1001 Malam’ di sudut bacaan kelas saya. Jawatan pustakawan di sekolah menengah pula membuka pintu seluas-luasnya kepada saya untuk menghadam karya sasterawan negara yang diterbitkan melalui ‘Edisi Khas Sasterawan Negara’ oleh DBP.

Beberapa bulan lau, Fadz menghadiahi saya buku ini dan beberapa judul yang lain. Oh, saya yang minta sebenarnya memandangkan buku-buku ini buku lama, dan di kulitnya tertera nama Arena Wati, salah seorang penulis yang saya minati. Namun saya ambil sedikit waktu untuk mulai membacanya. Apa lagi jika bukan dalam tren. Waktu inilah saya menenggelamkan diri dalam lautan yang dicipta sang penulis.

Saya tertarik dengan Pengenalan oleh Pustaka Antara: Kami harap semoga buku ini memberi manfaat kepada pembaca. Sedar atau tidak, setelah 27 tahun, saya memegang buku ini, membacanya dan masih merasai panas, sibuk, bising, nakal, semangat, kasihan, sayu, dilema dll yang dilukis Arena Wati melalui tintanya.

Johor Baru memuatkan 10 cerpen Arena Wati yang telah tersiar di pelbagai dada akhbar dan majalah dari tahun 1961 hingga 1965. Pelbagai kisah masyarakat dicatatkan melalui 10 buah cerpen ini.

‘Tujuh Hari Sekali’, menukilkan rasa kesal seorang lelaki akibat kenakalan sewaktu kanak-kanak.

‘Laporan dari Hayat’, memaparkan rasa cemburu seorang suami terhadap ‘kekasih gelap’ sang isteri yang ditemui dalam buku catatan harian isterinya.

‘Johor Baru’ melukiskan mata galak sang lelaki, gaduh pelanggan tawar menawar dan pelat ulat penjual tiket wayang.

Cerpen-cerpen lain yang terkandung dalam antologi ini ialah ‘Cikgu Rukiah’,  ’Kedatangan Penghuni Baru’, ’Langir Biru di Woodland’, ‘Atan Belum Kahwin’, ‘Keluarga Wak Daeng’, ‘Ana’ dan ‘Suaminya Jadi Orang Terkenal’. 

Sukar untuk saya mencatatkan perasaan saya yang bercampur-baur selepas membaca antologi ini. Apa yang dapat saya simpulkan ialah, inilah kehidupan. Menjalaninya tidak mudah. Mengisinya perlu tabah. Malah saya antara manusia yang bertuah kerana tidak perlu melalui kesempitan, kesunyian, atau keterbuangan seperti mana watak-watak dalam antologi ini.

Jauh daripada itu apa yang tertulis dalam ‘Johor Baru’ masih menghuni bumi Malaya. Perbezaan tahun yang menyaksikan kemajuan dan pucuk pimpinan yang bertukar ganti masih belum dapat menyelesaikan isu tanah, kemiskinan dan ISA. Malah kisah yang sama berulang setiap dekad dengan pelakon dan lokasi yang berbeza.

Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Arena Wati

Posted on June 7, 2009 by anum78.
Categories: Aktiviti.

Tema: Pemikiran Arena Wati Lambang Kesejagatan Sastera Kebangsaan

Tarikh: 9 - 10 Jun 2009

Tempat: Dewan Seminar, Aras 2, Menara DBP, Kuala Lumpur

Anjuran: Dewan Bahasa dan Pustaka

Latar belakang:

Perkembangan sastera kebangsaan banyak ditentukan oleh para sasterawan,iaitu penulis kreatif dan ilmuwan seperti penyelidik, sarjana sastera, ahli teori, pengkritik, sejarawan sastera, dan penggiat sastera. Di tangan merekalah karya sastera menjadi semakin mantap dan bermutu. Mereka jugalah  yang memberi warna, corak dan pola terhadap pembinaan dan pembangunan kesusasteraan kebangsaan.

Bengkel Penerapan Teori  Terhadap Teks Sasterawan Negara pada tahun 2002 yang dikendalikan oleh Bahagian Teori dan Kritikan Sastera merupakan perintis jalan untuk membincangkan karya Sasterawan Negara secara mendalam. Oleh itu, penobatan Kamaluddin Muhammad (Keris Mas) sebagai Sasterawan Negara yang pertama pada tahun 1981 yang lalu, memberi ruang yang lebih  luas kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mengupas karya beliau secara tuntas.

Dalam siri pertama seminar ini yang telah diadakan pada 24–26 Mei 2004, DBP telah menganjurkan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan, diikuti Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Keris Mas pada 2–4 Ogos 2005, Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Usman Awang pada 13–15 November 2006, Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Shahnon Ahmad pada 13-14 November 2007 dan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara A. Samad Said pada 13-15 Mei 2008.

 

TUJUAN

 

-          Membincangkan karya Sasterawan Negara Arena Wati dalam pelbagai genre secara tuntas melalui pelbagai pendekatan dan teori;

 

-          Menggali pemikiran kreatif dan proses kreatif Sasterawan Negara Arena Wati sewaktu menghasilkan karya-karya besar beliau;

 

Mencari dimensi baharu dalam pemikiran Sasterawan Negara Arena Wati untuk

-          dimanfaatkan dalam penghasilan karya kreatif, teori dan kritikan masa kini dan pada masa akan datang

 

SKOP KAJIAN

 

Skop kajian seminar meliputi perbincangan karya Sasterawan Negara Arena Wati dalam pelbagai genre yang dikupas melalui pelbagai teori dan pendekatan. Sebanyak 20 kertas kerja akan dibentangkan dalam seminar ini nanti.

 

        Di samping itu, Bahagian Teori dan Kritikan Sastera juga memperkenalkan konsep penulisan kertas kerja iringan bagi memberi peluang kepada penulis terutamanya generasi muda untuk mengemukakan pandangan mereka terhadap karya Sasterawan Negara Arena Wati. Sebanyak sepuluh kertas kerja  iringan diperuntukkan dalam seminar ini. Kertas kerja tersebut, walaupun tidak dibentangkan tetapi akan turut diedarkan kepada para peserta.

PENYERTAAN SEMINAR INI ADALAH PERCUMA

 

Untuk maklumat dan keterangan lanjut, sila hubungi :

 

Urus Setia,

Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Arena Wati,

Bahagian Teori dan Kritikan Sastera,

Dewan Bahasa dan Pustaka,

Peti Surat 10803,

50926 KUALA LUMPUR.

 

Tel : 03-21482537/21482539/21481217/21482543

Faks : 03-21414109

E-mel :  faezah@dbp.gov.my

             hajijah@dbp.gov.my

             amran2@dbp.gov.my

             jusoh@dbp.gov.my