
johor baru
Judul: Johor Baru
Penulis: Arena Wati
Penerbit: Penerbitan Pustaka Antara (cetakan kedua - 1982)
Mungkin kerana saya seorang yang sentimental. Atau mungkin saya kelihatan ortodoks. Saya amat menyenangi karya tahun 60-an, baik cerpen, novel, beberapa lagu dan filem (terutamanya Klasik FM). Kesenangan ini bukan baru tapi semenjak saya di sekolah rendah lagi, ketika pertama kali saya menemui buku ‘Kisah 1001 Malam’ di sudut bacaan kelas saya. Jawatan pustakawan di sekolah menengah pula membuka pintu seluas-luasnya kepada saya untuk menghadam karya sasterawan negara yang diterbitkan melalui ‘Edisi Khas Sasterawan Negara’ oleh DBP.
Beberapa bulan lau, Fadz menghadiahi saya buku ini dan beberapa judul yang lain. Oh, saya yang minta sebenarnya memandangkan buku-buku ini buku lama, dan di kulitnya tertera nama Arena Wati, salah seorang penulis yang saya minati. Namun saya ambil sedikit waktu untuk mulai membacanya. Apa lagi jika bukan dalam tren. Waktu inilah saya menenggelamkan diri dalam lautan yang dicipta sang penulis.
Saya tertarik dengan Pengenalan oleh Pustaka Antara: Kami harap semoga buku ini memberi manfaat kepada pembaca. Sedar atau tidak, setelah 27 tahun, saya memegang buku ini, membacanya dan masih merasai panas, sibuk, bising, nakal, semangat, kasihan, sayu, dilema dll yang dilukis Arena Wati melalui tintanya.
Johor Baru memuatkan 10 cerpen Arena Wati yang telah tersiar di pelbagai dada akhbar dan majalah dari tahun 1961 hingga 1965. Pelbagai kisah masyarakat dicatatkan melalui 10 buah cerpen ini.
‘Tujuh Hari Sekali’, menukilkan rasa kesal seorang lelaki akibat kenakalan sewaktu kanak-kanak.
‘Laporan dari Hayat’, memaparkan rasa cemburu seorang suami terhadap ‘kekasih gelap’ sang isteri yang ditemui dalam buku catatan harian isterinya.
‘Johor Baru’ melukiskan mata galak sang lelaki, gaduh pelanggan tawar menawar dan pelat ulat penjual tiket wayang.
Cerpen-cerpen lain yang terkandung dalam antologi ini ialah ‘Cikgu Rukiah’, ’Kedatangan Penghuni Baru’, ’Langir Biru di Woodland’, ‘Atan Belum Kahwin’, ‘Keluarga Wak Daeng’, ‘Ana’ dan ‘Suaminya Jadi Orang Terkenal’.
Sukar untuk saya mencatatkan perasaan saya yang bercampur-baur selepas membaca antologi ini. Apa yang dapat saya simpulkan ialah, inilah kehidupan. Menjalaninya tidak mudah. Mengisinya perlu tabah. Malah saya antara manusia yang bertuah kerana tidak perlu melalui kesempitan, kesunyian, atau keterbuangan seperti mana watak-watak dalam antologi ini.
Jauh daripada itu apa yang tertulis dalam ‘Johor Baru’ masih menghuni bumi Malaya. Perbezaan tahun yang menyaksikan kemajuan dan pucuk pimpinan yang bertukar ganti masih belum dapat menyelesaikan isu tanah, kemiskinan dan ISA. Malah kisah yang sama berulang setiap dekad dengan pelakon dan lokasi yang berbeza.
Salam Aidilfitri »« Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Arena Wati