You are looking at posts that were written on October 20, 2009.
| M | T | W | T | F | S | S |
|---|---|---|---|---|---|---|
| « Sep | ||||||
| 1 | 2 | 3 | 4 | |||
| 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10 | 11 |
| 12 | 13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 |
| 19 | 20 | 21 | 22 | 23 | 24 | 25 |
| 26 | 27 | 28 | 29 | 30 | 31 | |
Tidak, saya tidak dihadiahi novel ini. Tetapi ketua saya, Puan Hajah Ratna Inzah memberi pinjam kepada saya novel ini untuk mengetahui dan mendalami sebuah pesanteren moden di Jawa Timur yang dikenali sebagai Pondok Madani. Novel ini diilhamkan oleh A. Fuadi seorang lulusan Pondok Moden Gontor berdasarkan pengalaman beliau di pondok tersebut. Ingin tahu kisah menarik novel ini? Tunggu saya selesai membacanya. Insya-Allah, akan saya catatkan secebis rasa hasil pembacaan saya.
Saya gapai “Bidadari-Bidadari Syurga” dari rak kedai buku dengan tujuan untuk menghadiahkannya kepada seorang teman. Hingga hari ini teman itu masih belum menuntut hadiahnya. Maka saya gunakan waktu yang ada dengan menyelak setiap lembar novel ini. Nyata, pilihan saya tidak sia-sia. Malah saya berharap, andai teman itu nanti berpeluang memiliki hadiahnya ini, novel ini mencetus semangat juang dalam dirinya dalam mendaki puncak ilmu.
Novel ini berkongsi kisah, anak-anak yatim di Lembah Lahambay - Laisa yang sentiasa berkerja keras, Dalimunte yang bijaksana, Ikanuri dan Widapatna - dua musang nakal dan Yashinta - puteri ayu penyayang fauna.
Dalam serba kekurangan, Laisa mengorbankan persekolahannya demi membantu ibu yang tersayang, Mak Lainuri, memastikan adik-adiknya terus berpeluang menimba ilmu.
Lima kincir air ciptaan Dalimunte pula membantu penduduk kampung mengairi tanaman mereka tanpa bergantung kepada hujan sekaligus meningkatkan kaedah pertanian dan pendapatan penduduk kampung seluruhnya.
Kehadiran siswa-siswi melalui program latihan dan lawatan mereka pula kemudiannya membuka peluang kepada Laisa untuk membuka ladang strawberi di tanah mereka.
Empat beradik ini, terus membesar dalam lautan kasih sayang dan titik peluh Laisa dan Mak Lainuri, hingga memungkinkan Dalimunte bergelar Profesor, Ikanuri dan Widapatna memiliki bengkel motokar mereka sendiri dan Yashinta giat dalam usahanya menyelamatkan haiwan liar di tengah belantara.
Namun, ada rahsia yang tidak pernah mereka tahu. Harga yang perlu dibayar Laisa dalam usaha membesarkan adik-adiknya menuntut bukan satu pengorbanan. Laisa berkorban jiwa dan raga. Laisa berkorban jasad dan perasaan hanya untuk melihat setiap adiknya berjaya dalam lapangan mereka. Juga demi memastikan adik-adiknya membina mahligai bahagia bersama pasangan masing-masing. Apakah harga yang menuntut jiwa dan jasad gadis kampung bernama Laisa? Tekunilah “Bidadari-Bidadari Syurga” hingga ke halaman terakhir.
Novel ini bermula dengan huraian yang agak leceh apabila Puan Pengacara Majlis di sebuah seminar berjela-jela memperihalkan Profesor Dalimunte. Saya menyabarkan hati membacanya kerana saya tahu, ada kisah yang lebih menarik lagi di sepanjang novel ini.
Kesabaran saya berhasil apabila setelah melepasi bab itu, ceritanya bergerak laju, berselang seli antara kisah semasa dan imbas kembali zaman kanak-kanak mereka lima beradik. Jalinan cerita yang kemas, tidak meleret-leret diselangi bunga bahasa yang indah (dan juga tidak meleret) memudahkan lagi pembacaan saya malah sering membuat saya tidak sabar untuk mengetahui kisah selanjutnya.
Tahniah saya ucapkan kepada Tere Liye. Kini saya tidak sabar untuk membaca ‘Hafalan Solat Delisa’ dan ‘Moga Bonda Disayang Allah’. Terima kasih juga kepada PTS Litera yang menerbitkan edisi terjemahan ini dan kepada penterjemahnya Tuan Mohd. Rosdi Mohd. Zin. Demikian aktiviti penterjemahan memperkayakan pengalaman dan pengetahuan kami yang sentiasa dahaga.
“Yakinlah, wanita-wanita solehah yang sendiri, namun tetap mengisi hidupnya dengan indah, bersedekah dan berkongsi, berbuat baik dan bersyukur. Kelak di hari akhir sungguh akan menjadi bidadari-bidadari syurga. Dan khabar baik itu pastilah benar; bidadari syurga parasnya cantik luar biasa.” (hal. 383, Bidadari-Bidadari Syurga)