Membina Ketabahan Diri Melalui Novel

Posted on August 4, 2008 by anum78.
Categories: Books.

Baru-baru ini, saya telah menyerahkan kembali tugas sebagai pengkaji novel untuk tujuan projek Galeri Ilmu - amanah yang tak dpt saya laksanakan. Apakan daya, saya tidak dapat memberi sepenuh komitmen bagi menggalas beban tugas tersebut.

Bagi memenuhi masa lapang saya kini, saya meminjam beberapa judul buku dari PDM, DBP. Antara judul-judul tersebut ialah Dari Kepala Batas ke New Haven karya Ashadi Zain dan Beraraklah Awan Pilu karya Abd Latip Talib (Pak Latip). Menariknya, setelah menamatkan pembacaan saya terhadap kedua-dua novel ini, saya mendapati, kedua-duanya merupakan sebuah karya motivasi - pembina semangat, penguat jiwa - dalam menghadapi pelbagai cabaran di dunia ini.

Buku_dr_kpl_bts Dari Kepala Batas ke New Haven merupakan kisah seorang anak (Khalili) yang melihat dan memahami penderitaan ibunya (Ustazah Aishah) apabila ayahnya (Ustaz Karim) disyaki menghidap kanser. Derita sang ibu bertambah apabila sang ayah pergi buat selamanya dituruti pula oleh si datuk beberapa bulan kemudiaan. Pemergiaan datuk yang dikasihi memperlihatkan perubahan sikap sang nenek sehingga sanggup menghalau mereka anak-beranak keluar dari rumahnya. Ustazah Aishah terpaksa bertahan sebelum berjaya membina rumah sendiri di atas tanah pusaka peninggalan ayahnya menggunakan wang pencen arwah suaminya.

Sedari kanak-kanak sehingga ke usia remaja, Khalili bukan sahaja menyaksikan ketabahan ibunya tetapi juga terpaksa berhadapan dengam umpat keji, caci maki, dan kata-kata nista penduduk kampung dan saudara-mara terhadap ibu, arwah ayah dan adik-beradiknya. Hal ini menguatkan azamnya untuk melanjutkan persekolahan ke sekolah berasrama dan seterusnya melanjutkan pengajian ke luar negara. Malah seperti pepatah Melayu lama, benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, Khalili menabur bakti di setiap inci bumi tempat dia berpijak. Khalili akhirnya memiliki syarikat motivasi sendiri.

Braraklah_awn_pilu_1 Beraraklah Awan Pilu pula merupakan kisah sebuah pencarian. Syafiq bergelandangan ke Negara Brunei Darussalam semata-mata untuk membuktikan bahawa dia mempunyai ayah yang sah. Pengalaman Syafiq sebagai sukarelawan tragedi tsunami di Acheh banyak membantunya agar tabah dan sabar dalam pencarian. Nyata, usaha yang bersungguh-sungguh, ikhlas dan tawakal kepada Allah membuahkan hasil. Insiden kebakaran di Kampung Air memberi peluang Syafiq membuktikan kebenaran. Cabarannya yang kemudian adalah meyakinkan Datin Siti bahawa dia adalah anak kandung Dato’ Mansor tanpa maksud untuk membolot kekayaan keluarga korporat itu. Syafiq juga berazam menjadi usahawan tani berjaya dengan mengerjakan tanah peninggalan arwah ibunya selain mengundang keluarga ayah kandungnya untuk diperkenalkan kepada orang kampung dalam majlis kenduri tahlil dan doa selamat di rumah pusaka ibunya.

Khalili dan Syafik adalah dua anak muda yang membesar dalam umpat keji orang kampung/komuniti setempat/masyarakat. Hidup sebegini sudah tentunya memberi tekanan hebat kepada jiwa muda nan mentah. Namun tekanan ini menjadi pemangkin kejayaan mereka. Yang penting, cekalkan hati, tabahkan jiwa, bijak mengawal emosi serta berserah diri kepada kekuatan Allah menjadi resepi terbaik kejayaan diri.

CA BAU KAN : realiti perempuan simpanan?

Posted on July 23, 2008 by anum78.
Categories: Books.

Ca_bau_kan_1Ca Bau Kan adalah satu lagi judul yang dipinjamkan oleh ketua saya, Pn. Hjh Ratna Inzah. Bagai ‘Salina’ karya A. Samad Said, kisah ini lebih panjang, malah merentasi beberapa zaman iaitu sedari zaman penjajahan Belanda, pemerintahan Jepun dan selepas kemerdekaan Indonesia.

Karya Remy Sylado ini dimulakan dengan catatan Geok Lan (yang telah diangkat oleh keluarga Belanda) terbang ke Indonesia untuk mencari tinggalan leluhurnya. Tanpa disangka, pencariannya bukan sahaja diakhiri dengan pertemuannya dengan adik kandungnya, tetapi turut membuka selembar kisah duka ibunya dan rahsia pembunuhan ayahnya.

Menghadami Ca Bau Kan, menuntut kesabaran saya oleh kerana ia ditulis dalam bahasa Indonesia. Namun seperti pengalaman yang lalu, saya gagahi juga novel ini kerana setiap kisah yang tertulis di dalamnya begitu mendebarkan, kadangkala menjentik naluri kewanitaan saya juga ada waktunya membuakkan rasa marah dan benci ke atas watak-watak kejam di sekeliling Siti Nurhayati (Tinung), gadis kecil yang naif, pasrah dan dianggap sial oleh keluarga.

Selain itu, dua orang saudagar Cina dengan nama yang sama iaitu Tan Peng Liang, turut memainkan peranan besar dalam novel ini. Kedua-dua Tan Peng Liang pernah menjadikan Tinung sebagai ca bau kan mereka. Bezanya, Tan Peng Liang yang pertama menyimpan Tinung di sebuah rumah rahsia di tengah kebun dan dikawal ketat oleh orang-orang suruhannya. Tan Peng Liang yang kedua pula mengambil Tinung secara sah (mengikut adat nenek-moyangnya) sebagai isteri kedua. Tan Peng Liang inilah yang meniup roh ‘wanita’ sebenar dalam diri Tinung, memberinya makna cinta, melengkapi rumah tangga dengan sepasang cahaya mata dan penyebab dirinya diperhamba nafsu buas askar Jepun. Atas nama cinta, Tinung berjaya mengharungi saat-saat paling gelap dalam hidupnya. Persoalannya tentang cinta Tan Peng Liang juga yang mengakhiri nafasnya.

Sebenarnya, selain kisah cinta, Ca Bau Kan juga ada patriotisme, perjuangan, petualangan, perniagaan, dengki khianat, dan kepercayaan. Terpulang kepada bagaimana anda menanggapi kisah ini.

Bacalah Ca Bau Kan. Hiruplah setiap titis kasih dalam nafas Tinung. Sematkan semangat waja dan kesateria Tan Peng Liang.

Selamat membaca.

p/s: novel ini telah difilemkan.

SAGA HORIZON: Bila Manusia Diburu

Posted on July 21, 2008 by anum78.
Categories: Books.

Salam,

Telah lama saya tidak mengemas kini blog ini. Maklumlah, situasi politik negara yang sentiasa hangat dan kadang kala mencemaskan membuatkan kotak e-mel saya melimpah-ruah dan menuntut setiap saat yang saya ada untuk membacanya.

Baiklah, di bawah ini, saya tuliskan pandangan saya mengenai buku SAGA HORIZON terbitan Alaf21 hasil karya teman baik saya. Moga anda semua terhibur dan berminat untuk membaca buku ini.

Oh ya, anda boleh baca catatan penulis ini mengenai pelbagai buku bacaannya di kububuku atau membeli buku ini di Alaf 21.

Selamat membaca.

*************************************************************************

Saga1

SAGA HORIZON: Apabila Manusia Diburu Jembalang

Sejujurnya, saya bukanlah peminat genre sains fiksyen sama ada cerpen, novel atau filem. Namun demikian, ada beberapa drama genre ini yang gemar saya tonton seperti ‘Star Trek’ dan ‘Mutant X’. Jika anime boleh dikategorikan dalam genre yang serupa, maka ‘Doraemon’, ‘Kiteretsu’, dan ‘Avatar: The Legend of Ang’ adalah antara yang saya gemari.

Memiliki ‘Saga Horizon’ adalah sokongan jitu yang dapat saya berikan kepada seorang teman bernama Fadli Al-Akiti (Fadz). Dengan fikiran positif, saya menekuni halaman demi halaman. Sungguh, saya tidak sangka, ‘Saga Horizon’ memberikan lebih dari satu kisah biasa. Ia ada matlamat, ia punyai amanat. Terpulang kepada bagaimana anda menerjemahkan maksudnya yang tersirat.

‘Saga Horizon’ memulakan halamannya dengan debar Rogue, askar upahan Markas Verhoven dan angkatannya menanti serangan Jembalang Bertulang Besi dan turunnya hujan asid. Dalam pertempuran ini, Rogue kehilangan teman yang paling akrab iaitu Marc.

Ketika mengebumikan jenazah Marc, Jafni, orang kanan Ummi meminjamkan cangkul. Tanpa Rogue ketahui, pertemuan seterusnya dengan Jafni dan setiap langkahnya selepas itu menepati ramalan Ihsan, anak Ummi.

Rogue kemudiannya mengetuai satu misi penting iaitu mendapatkan cip otak jembalang dari kepala Licik. Tugasnya dibantu oleh Pedang Shashqa milik Ummi dan tiga orang askar upahan iaitu Cino, Jimbo dan Derrick. Turut serta dalam misi berkenaan ialah sang pencatat iaitu Periwayat Sobri.

Dalam pertempuran sengit yang hampir menamatkan riwayat mereka berempat, Rogue berjaya membawa pulang kepala Licik ke Markas Verhoven. Cip otak jembalang yang dikeluarkan dari kepala Licik dianalisis oleh pawang-pawang di sana. Penemuan cip otak berkenaan merungkai sebuah misteri iaitu mengapa dan bagaimana selama ini Jembalang Bertulang Besi memburu manusia. Namun cip berkenaan turut menimbulkan dua nama baru iaitu Maisara dan Asain? Siapakah kedua-dua nama ini? Apa kaitan mereka dengan pemburuan manusia yang dilakukan oleh Jembalang Bertulang Besi? Apakah mereka mempunyai kaitan dengan kejadian Malapetaka Maha yang telah meruntuhkan bukti ketamadunan manusia?

Demikian Bahagian Satu ‘Saga Horizon’ membangkitkan debar di jiwa saya. Tidak sabar saya ingin menelusuri Bahagian Dua: Sebelum Malapetaka Maha dan Bahagian Tiga: Perang Asain bagi mencari jawapan kepada setiap persoalan di atas walaupun mata sedikit pedih kerana penat ‘menangkap’ setiap patah kata akibat saiz huruf yang agak kecil.

Sebenarnya, perkara pertama yang menambat saya untuk terus membaca ‘Saga Horizon’ sudah tentulah susunan bahasa yang menyegarkan. Tiada ayat-ayat lewah yang merimaskan. Tiada ayat-ayat melankolik yang meloyakan. Setiap kata yang dipilih begitu tepat dan kena dengan ceritanya, cukup untuk menggambarkan situasi malah membangkitkan deria pada setiap peristiwa.

Saya dapat merasakan kegusaran, rimas dan panas para askar upahan ketika menanti arahan Rogue di tengah kehangatan padang pasir Sempadan Utara Cokmar. Saya teruja oleh semangat Marc yang ingin lari dari perlindungan dan bayang-bayang Rogue. Hati saya tersayat dalam raungan perempuan-perempuan yang meratapi longgokan mayat di hulu pasar terpakai Sempadan Ahzim. Saya bagai terdengar salakan mengerikan Orang Makan Orang berebut-rebut memilih bangkai manusia sebagai hidangan mereka. Saya merasakan kepiluan berbaur dendam yang marak membakar setiap kali Rogue menghayunkan Pedang Shashqa menebas jembalang-jembalang yang berusaha membunuhnya.

Fadz begitu bijak menjentik emosi dan menggambar situasi sehingga setiap babak dalam novel ini umpama filem yang berputar tanpa henti. Pergerakan lancar setiap peristiwa membuatkan anda tidak mahu meninggalkan walau sepatah pun perkataan.

Sekali-sekala saya disedarkan oleh perkataan-perkataan asing (yang jarang digunakan sebenarnya). Antaranya ialah Pawang (yang dimaksudkan dengan ahli sains), sauk, dan nazwah. Sudah pasti pemilihan kata seperti ini membezakan ‘Saga Horizon’ daripada novel-novel lain dewasa ini, memperkayakan kosa kata pembaca dan bagi satu atau dua perkataan, ia memberikan makna baru yang tidak terfikirkan.

p/s: saya tak dapat habiskan catatan saya mengenai buku ini. Anda hendak tahu kisah selanjutnya? Sila dapatkan buku ini di pasaran :-)

Buku-buku 2007

Posted on April 3, 2008 by anum78.
Categories: Books.

DHem….

Di bawah ini buku-buku yang sempat saya baca sepanjang tahun 2007. Sempat ambil gambar sahaja. heheheh

Budak_takraw Da_vinci_codes Mendorong_kreativiti_kanak2 Orkid Pintar_cerdas Wanita

Tuhan_manusia

p/s: The Da Vinci Code dan Wanita adalah novel Inggeris yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia (dipinjamkan oleh ketua saya, Pn. Hjh. Ratna Inzah).

Kuat Sangat Ke?

Posted on November 5, 2007 by anum78.
Categories: Books.

Sempena kenaikan emolumen yang diberikan oleh kerajaan kepada pekerjanya, saya meraikannya dengan membeli beberapa judul buku terbitan PTS. Kenapa saya pilih PTS? Kerana saya telah sekian lama melayari laman UNIKA PTS dan amat tertarik dan terpengaruh dengan kaedah kerja Pn. Ainon, Maharani PTS (meminjam gelaran Fadz kepada wanita bersemangat waja ini). Namun demikian, pengaruh Pn. Ainon terhadap saya hanyalah dari segi pemikiran terhadap industri buku di Malaysia. Saya masih belum lagi menukar sikap ke arah lebih rajin, rajin dan rajin seperti mana beliau.

Antara judul pertama yang saya beli ialah ‘Orang Kuat’ karya Alif Firdaus Azis. Sebetulnya novel grafik (komik) ‘Orang Kuat’ ini adalah terbitan PTS Ones Sdn. Bhd, salah sebuah anak syarikat PTS di bawah siri PTS One Comic.

Saya suka ‘Orang Kuat’. Pertamanya tentu sahaja kerana saya terpesona dengan hero alternatif ciptaan pengarangnya. Watak utama dengan nama Alif dan berusia 25 tahun ialah seorang pemuda yang dilahirkan dengan kekuatan luar biasa. Namun kerana didikan yang sederhana oleh keluarganya, Alif kemudiannya dikenali sebagai seorang peniaga yang berjaya. Kekuatan luar biasanya menjadi rahsia yang amat dijaga rapi.

Sebagai insan dengan jiwa biasa dan kaya harta, Arif telah menaja konsert seorang penyanyi wanita yang terkenal, Sabrina. Ketika konsert berkenaan hampir ke kemuncaknya, seorang lelaki telah muncul di pentas dan mengancam mencederakan Sabrina. Alif (yang ketika itu telah berubah penampilan) telah menyelamatkan Sabrina daripada dicederakan oleh lelaki tersebut.

Namun insiden berkenaan tidak berakhir di situ. Alif kemudiannya mendapat tahu bahawa Sabrina diculik. Alif juga telah dicabar untuk menyelamatkan Sabrina menggunakan kekuatan fizikalnya. Apakah Arif berjaya menyelamatkan Sabrina? Apakah nasib yang menimpa Sabrina pula seterusnya?

Jalan cerita ‘Orang Kuat’ mudah, bahasanya ringkas dan lukisannya sederhana. Saya membaca buku ini dalam masa 2 jam. Pada babak-babak tertentu, saya tersenyum-senyum menahan tawa. Ada kala saya juga merasa cemas dan tertanya-tanya apa akan jadi seterusnya.

Pendapat saya, ‘Orang Kuat’ sesuai dibaca oleh kanak-kanak seawal sembilan tahun.

Hanya satu sahaja yang agak mengecewakan saya. ‘Orang Kuat’ dicetak hitam putih dengan lukisan yang kurang kemas. Mungkin untuk karya Alif Firdaus Azis yang seterusnya, beliau boleh mengemaskan sedikit lukisannya.

Zain Zawiyah

Posted on October 7, 2007 by anum78.
Categories: Books.

Zain_zawiyah Malam tadi saya berkesempatan menamatkan pembacaan novel Zain Zawiyah Edisi Kedua yang diterbitkan sebagai salah satu judul Siri Sastera Melayu Kanak-kanak Pilihan Abad 20 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Buku ini dikarang oleh Ahmad Murad Nasarudin.

Buku nipis ini hanya mempunyai 98 halaman tanpa ilustrasi dan dibahagikan kepada 15 bab. Kisahnya berlatarbelakangkan zaman awal pendudukan Jepun. Lokasi novel ini adalah di Kuala Lumpur dan Melaka.

Saya terkesan oleh kata pengantar yang ditulis oleh mantan Ketua Pengarah DBP, Dato’ Haji A. Aziz Deraman. Menurutnya, ‘karya ini dipilih oleh sebuah panel yang arif tentang sastera kanak-kanak dan remaja’. Namun saya tertanya-tanya, apakah panel berkenaan benar-benar arif dengan psikologi kanak-kanak ketika membuat pilihan untuk meletakkan ‘Zain Zawiyah’ sebagai novel kanak-kanak?

Perbuatan Zain mengunjungi tempat hiburan bagi menghilangkan kesunyian hatinya yang berjauhan dengan keluarga bukanlah perbuatan yang boleh dicontohi. Malah, perlukah kita mendedahkan perbuatan sebegini kepada anak-anak berusia 9 - 12 tahun? Zain bererebutkan Mary, si perempuan joget dan kemudian hidup bersama Mary tanpa ikatan pernikahan, lupakan isteri dan anak-anak hinggakan anak bungsunya mati kerinduan. Saya merasa sedih jika akhlak sebegini yang ingin dijadikan contoh kepada pembaca sasaran novel ini.

Walaupun di akhir cerita Zain menerima pembalasan daripada perbuatannya, namun itu bukanlah tiket untuk menayangkan perbuatan terkutuk Zain. Malah ia juga bukanlah contoh terbaik untuk melatih anak-anak memahami frasa ‘buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat’.

Usaha menerbitkan semula novel kanak-kanak bagi memenuhi permintaan semasa amatlah dialu-alukan. Namun, panel perlu bijak menilai novel yang bagaimana yang boleh membantu pembentukan sahsiah terpuji. Anak-anak mempunyai minda yang bersih, dan cergas. Usahlah dicemari minda anak-anak ini dengan gambaran-gambaran yang tidak sepatutnya. Penuhilah minda mereka dengan kisah-kisah mulia, terpelihara akhlak dan adabnya. Moga usaha sebegini bakal melahirkan generasi berwawasan dan berhemah tinggi.

Ahlan Ya Ramadan

Posted on September 25, 2007 by anum78.
Categories: Aktiviti, Books, Kitar Semula.

Ahlan wa sahlan ya Ramadan.

Alhamdulillah, tahun ini, saya dipertemukan lagi dengan Ramadan.

Terima kasih Tuhanku kerana Kau kurniakan padaku kesihatan untuk mengharungi bulan yang mulia ini.

Tidak banyak aktiviti menarik yang saya lakukan dalam bulan ini. Selain bertadarus bersama rakan-rakan sepejabat dalam waktu rehat di surau kami, saya menjalankan urusan harian yang lain seperti biasa.

Oh, saya baru selesai mengasingkan kertas putih dan kertas berwarna di ruang pejabat saya. Terima kasih kak Jun kerana sayang dengan alam. Kertas2 terbuang itu nanti akan saya jual dengan En. Azhar. Dapatlah saya membeli kertas lain untuk kegunaan pejabat. Secara tidak langsung, saya menjimatkan perbelanjaan pejabat.

Selain itu, saya juga ingin berkongsi berkenaan satu laman web yang diperkenalkan oleh rakan atas talian saya (my online buddy), Cik Siti Mardhiah Yusuf. Laman tersebut ialah www.shelfari.com. Saya telah pun menjadi ahli Shelfari dan menyusun pelbagai buku yang telah saya baca di rak bacaan saya di sini. Saya juga menganggotai kumpulan ‘Melayu’, ‘Fantase’ dan ‘Malaysia’ yang aktif membincangkan pelbagai topik menarik berkaitan buku dan penulis buku di Malaysia. Ayuh teman, jadilah ahli Shelfari! Saya dahagakan buah fikiran teman-teman semua.

Rekod Jualan Barang Kitar Semula

Posted on July 22, 2007 by anum78.
Categories: Kitar Semula.

Semalam, 22 Julai 2007, jam 6.00 petang, saya jual barang-barang di bawah ini yang telah saya kumpul lebih dari tiga bulan (saya tak ingat berapa lama sebenarnya) kecuali kertas putih yang saya kumpul lebih dua tahun. Saya sahaja catat di sini sebagai rekod saya dan dorongan kepada saya untuk terus mengumpul lagi:

  1. Besi: 25kg x RM0.50 = RM12.50
  2. Plastik: 50kg x RM0.50 = RM25.00
  3. Kertas putih: 44kg x RM30.00 = RM13.20
  4. Kertas campuran: 40kg x RM0.15 = RM6.00
  5. Surat khabar: (Satu kaki lebih) x RM3.00 = RM5.00

Jumlah keseluruhan: RM61.70.

Oh, mana saya dapat barang-barang tu semua?

  • Besi: Ini segala jenis tin, paku, klip dan apa sahaja yg diperbuat daripada bahan seumpamanya.
  • Plastik: Botol-botol minuman, shampu, mandian, minyak, plastik pembalut/pembungkus dan seumpamanya.
  • Kertas putih: Surat-surat bank, iklan, kertas-kertas edaran.
  • Kertas campuran: Kotak-kotak susu, rokok, tisu, makanan ringan, kertas-kertas iklan dan edaran, majalah, kertas pembalut.
  • Surat khabar: Ini surat khabar harian yang ahli keluarga saya beli.

Anda hendak mengumpul dan menjual barang-barang kitar semula seperti saya?

Pertamanya, pastikan anda ada ruang seperti bilik stor yang bersih dan tertutup.

Keduanya, pastikan barang-barang yang anda kumpul juga bersih, dan bebas dari reja makanan untuk mengelakkan semut/lipas/tikus dan bau yang tidak menyenangkan. Bayangkan, anda perlu kumpul barang-barang ini mungkin lebih dari enam bulan.

Kenapa mesti dikumpul? Ok, saya malas hendak menghantar barang-barang ini ke pusat kitar semula. Kebanyakan mereka hanya menerima tin aluminium, kertas putih dan surat khabar sahaja kerana barang-barang ini mempunyai harga yang ‘boleh tahan’ di pasaran. Plastik dan tin biasa berharga amat rendah dan tidak berbaloi. Oleh itu, saya mengumpul barang-barang ini di rumah dan bila dah banyak, saya panggil En. Azhar Sidek (014-2279958) untuk membeli barang-barang ini.

Ok, selamat mengitar semula!!

Buku: Paradise

Posted on July 12, 2007 by anum78.
Categories: Books.

Paradise

Tajuk Buku: Paradise

Pengarang: Abdulrazak Gurnah

Penerbit: Penerbit Hikmah (PT Mizan Publika), Indonesia, 2007

Sinopsis:

Namanya Yusuf dan usianya sekitar 12 tahun. Sebagai anak lelaki dalam keluarga yang sederhana, dia dilayan seperti biasa oleh ibu dan ayahnya. Dalam masa yang sama, Yusuf gemar akan kehadiran Paman Aziz. Setiap kali Yusuf menyalami Paman Aziz, salamnya tidak pernah kosong. Itu, amat menggembirakan hati kanak-kanaknya.

Satu hari, ibu menangis dan ayah memandang sayu wajahnya. Selepas itu, Yusuf dibawa pergi oleh Paman Aziz, seorang saudagar. Perjalanannya jauh - menaiki kereta api. Tiba di destinasi, Yusuf dititip kepada Khalil, seorang anak muda yang lebih tua darinya.

Khalil menguruskan sebuah kedai keperluan harian milik Paman Aziz. Di sini Yusuf didedahkan dengan ilmu pengurusan kedai. Dia juga kerap diusik oleh kerana kecantikan wajahnya.

Selain menguruskan kedai, Yusuf juga gemar menguruskan taman di kawasan rumah Paman Aziz. Tumbuh-tumbuhan yang hidup subur di taman itu mendamaikan dan sedikit demi sedikit mengurangkan kerinduannya kepada kedua ayah bonda. Meskipun Khalil sering menegaskan, Yusuf ‘dijual’ kepada Paman Aziz sebagai penebus hutang ayahnya, Yusuf amat payah hendak menerimanya.

Tidak lama kemudian, Yusuf dititipkan pula kepada Hamid Seuleiman, seorang pemilik toko di wilayah yang lain. Di sini, Yusuf bukan sahaja membantu tugas-tugas di kedai tetapi turut membantu Maimuna, isteri Hamid, membuat kerja-kerja rumah. Dia juga berkenalan, berkawan, dan belajar tentang jentera daripada Kalasinga, seorang Sikh dan belajar mengaji di madrasah. Satu ketika, hatinya terduga oleh kemesraan Asha, anak Hamid. Hal ini menyebabkan Maimuna berusaha merenggangkan Yusuf dari anak gadisnya.

Setahun kemudian, Yusuf terpilih pula untuk turut menganggotai rombongan dagangan Paman Aziz. Yusuf berdebar-debar, gembira bercampur gementar. Ternyata perjalanan kali ini sangat jauh. Sepanjang perjalanan, pelbagai ragam manusia dari pelbagai budaya dan kepercayaan menjadi hidangan matanya. Satu yang tidak dapat disangkal, kecantikan wajahnya sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesulitan Paman Aziz menghadapi dugaan dan karenah puak-puak di setiap kampung yang mereka lewati.

Pulang dari perjalanan yang jauh, Yusuf kembali menghambakan diri pada taman yang lama ditinggalkan. Nyata ketekunannya meladeni taman menambat hati sang Nyonya, isteri Paman Aziz. Sekali lagi hatinya diduga, bukan sahaja kerana kegerunannya terhadap sang Nyonya yang kononnya sakit tetapi juga kepada Amina, pelayan sang Nyonya, kakak Khalil. Hal ini akhirnya diketahui oleh Paman Aziz. Apakah Paman Aziz akan menghukumnya atas kesalahan ini? Mungkinkah Paman Aziz menghalaunya keluar dari rumah keduanya ini?

*****************************************************************************************

Rasa hati:

Saya merangkak-rangkak membaca novel terjemahan bahasa Indonesia ini. Tentulah kerana bahasanya. Mujur juga ia bukan bahasa basahan biasa maka saya membaca dengan memahami berdasarkan perenggan.

Bab-bab pertama novel ini mengingatkan saya kepada novel Ayat-Ayat Cinta. Lenggok bahasa yang hampir sama menyebabkan saya terfikir mungkin Abdulrazak Gurnah sedikit sebanyak mempengaruhi Habiburahman El-Sherazi. Namun, menekuni halaman seterusnya dalam novel ini, mengikat saya untuk cuba terus membaca hingga akhir. Pengalaman yang ditempuh Yusuf tidak indah, tetapi berjaya membuka mata saya tentang kehidupan yang didepani oleh penduduk Afrika Utara.

Paradise adalah kisah tentang perjalanan. Tiada syurga yang akan anda temui di sini melainkan keperitan menyerupai serpihan neraka di sana sini di dalam novel ini.

p/s: saya tak berjaya meletakkan resensi buku ini dalam ‘review’. Akan datang, saya rakamkan rasa hati saya berkenaan buku yang saya baca di sini sahaja.

Dia Yang Pernah Saya Lihat

Posted on June 20, 2007 by anum78.
Categories: Books, Tokoh.

Sejak mula berkhidmat di DBP sekitar tahun 2001, saya kerap terserempak dengan dia. Pada mulanya, saya ingatkan dia salah seorang staf DBP. Tetapi saya tidak pernah pula nampak dia menggantung pas staf atau tanda nama DBP di dadanya.

Saya tertarik untuk mengetahui siapa dia kerana yang pertama sekali wajahnya ada iras-iras Cina. Mungkin kerana usia saya yang masih mentah maka mudah sahaja saya mentafsir keturunan seseorang itu tanpa melihat atau mengenalinya dengan lebih dekat.

Faktor kedua yang menyebabkan saya teringin mengetahui tentangnya ialah saya sering terserempak dia berada dalam kerumunan pelajar-pelajar sekolah menengah. Biasanya pelajar perempuan pula tu. Wah, apakah keistimewaannya dia ini? Dan memang pun, tidak lama kemudian, saya terdengar pelajar-pelajar ini memanggilnya ‘cikgu’.

Kekerapannya bertamu di DBP bersama gerombolan pelajarnya menyebabkan saya menyangka dia adalah seorang guru sekolah menengah yang mengajar mata pelajaran Kesusasteraan Melayu. Pastinya pelajar-pelajar ini mengikuti lawatan sambil belajar dengan iringannya.

Oktober 2003, dunia kesusasteraan Melayu dikejutkan dengan berita pemergian seorang tokoh yang disegani dan disayangi ramai. Yang agak mengharukan pada diri saya secara peribadi, tokoh ini pergi tanpa sempat menemui kembali anak lelaki sulung yang disayanginya yang hilang tanpa khabar - Hizairi.

Saya baru selesai menamatkan pembacaan Siri Biografi Untuk Pelajar - Biografi Othman Puteh. Di sini saya mengenali peribadi beliau, ketokohannya, perjuangannya dan semangatnya yang tidak pernah pudar menyemai benih-benih sastera untuk tumbuh subur dalam jiwa remaja. Tidak hairanlah kalau beliau begitu disayangi terutama oleh pelajar-pelajarnya. Al-Fatehah buat beliau, Allahyarham Prof. Madya Dr. Haji Othman Puteh.

*sumber: http://amizakhusyri.blogspot.com/2004_10_01_archive.html