Selesai baca ‘Paradise’

Posted on June 13, 2007 by anum78.
Categories: Books.

Dua orang teman sepejabat (pada masa dan hari yang berlainan), mengambil ‘Paradise’ yang sengaja saya letakkan di rak kecil berhampiran meja saya. Kedua-duanya mengutarakan pertanyaan yang sama, "Macam mana awak baca buku ni? Boleh faham ke?"

Saya pandang wajah si penanya, "Saya baca buku ini ikut perenggan. Saya faham idea dalam setiap perenggan. Memang ada beberapa perkataan Indonesia yang saya kurang faham dalam buku ini. Tetapi saya cuba memahaminya selepas membaca setiap perenggan. Saya ambil ideanya kemudian saya tahulah ceritanya."

Sang penanya mengangguk. Namun wajah mereka mempamerkan kerutan tidak faham.

Alhamdulillah, petang semalam, saya berjaya menghabiskan bacaan ‘Paradise’. Sedang berkira-kira bila pula hendak memulakan penulisan resensinya.

Sambil itu, baca ‘Biografi Othman Puteh’ oleh Ali Majod. Ada penemuan baru bagi diri saya di sini.

Tazkirah - Makanan Halal

Posted on June 5, 2007 by anum78.
Categories: Religion.

Assalamualaikum wbt.

Pagi tadi, dalam perjalanan ke pejabat, kawan yang saya tumpangi membuka siaran Ikim.FM. Seperti biasa, sekitar 6.40 pg, ada segmen tazkirah.

Pagi ini, ustaz bercakap tentang kepentingan mengajar anak-anak memahami perbezaan halal dan haram terutamanya dalam pemilihan makanan dan seterusnya dalam tingkah laku dan perbuatan. Anak-anak kecil perlu dididik mengetahui makna halal, haram, perkara halal, perkara haram, makanan halal, dan makanan haram. Kita sebagai ibu bapa pula bertanggungjawab memastikan sumber makanan anak-anak dan keluarga adalah dari sumber yang halal.

Pentingnya menjaga halal haram pemakanan keluarga utamanya anak-anak adalah demi memastikan hati anak-anak lembut, mudah menerima kebaikan, mudah menerima pelajaran dan memandang dunia dari perspektif Islam bukan dari kaca mata kafir laknat.

Ustaz juga menempelak kebanyakan ibu bapa yang lebih mudah mengajar anak cerita-cerita dongeng/tahyul berbanding kisah-kisah nabi, mengajak anak menghafaz lagu-lagu barat berbanding menghafaz hadis nabi. (Aduuhh, terkena batang hidung sendiri. Mujur saya ada membeli cd "Assalamualaikum" utk Sufiah di samping "The Ice Age", dan "Old MacDonald Had A Farm".)

Buku dan Cita-cita

Posted on June 4, 2007 by anum78.
Categories: Books.

Petang semalam, saya ke PDM dengan tujuan mencari buku ‘Terminal Tiga’, ‘Biografi Othman Puteh’ dan ‘Penghayatan Novel Terminal Tiga’. Oh, saya terlambat agaknya. Buku Penghayatan Novel tu tiada dalam simpanan PDM. Terpaksalah saya minta pada Fadz.

Ketika menunggu buku-buku yang saya pinjam diimbas oleh Kerani Kaunter PDM, sempat saya berbual-bual dengan si manis Zaza.

Saya teringat saat-saat sekolah. Saya menjadi Pustakawan masa darjah 3, mengurus Sudut Bacaan di dalam kelas 3 Teratai.

Ketika darjah 4, saya berjaya menjawat jawatan pustakawan untuk mengurus perpustakaan sekolah. Seronoknya sebab saya boleh pinjam 3 buah buku sekaligus berbanding ahli biasa yang cuma boleh pinjam 2 buah buku sahaja. Masa tu, saya gemar membaca siri Noddy, dan siri-siri penyiasatan Enid Blyton, Nancy Drew dan Hardy Boys. Siri Ceritalah Lagi dan Tidrulah Intan pun menjadi kesayangan saya. Ketika itu saya belum kenal lagi nama-nama penulis besar tanah air. Saya menjadi pustakawan sehingga darjah 6.

Di sekolah menengah, sekali lagi saya mencuba nasib untuk menjadi pustakawan. Alhamdulillah, saya berjaya menjawat jawatan tersebut ketika di tingkatan 2 dan berterusan hingga ke tingkatan 5. Kalau tak silap saya, ketika ini saya boleh pinjam 4 buah buku sekaligus. Apa lagi, keghairahan membaca tulisan-tulisan sasterawan negara ketika itu tidak terbendungkan. Dan saya sentiasa ingin jadi orang pertama yang meminjam buku-buku terbaru di perpustakaan.

Saya bangga kerana saya telah membaca cerpen-cerpen Abdul Rahim Kajai dan Pak Sako. Saya juga bangga kerana saya telah puas mengulit cerpen-cerpen Datuk A. Samad Said yang dihimpun menjadi sebuah buku tebal macam kamus besar Bahasa Indonesia. Saya tak boleh lupa dengan novel ‘Hatimu Aisyah’ karya Zurinah Hassan.

Ketika inilah saya baca Hujan Pagi dan Daerah Zeni (A. Samad Said), Srengenge dan Detik-Detik Diri Di Daerah Daif (Shahnon Ahmad), Sakura Mengorak Kelopak, Kuntum Tulip Biru, Bunga Dari Kuburan, dan Panrita (Arena Wati), Tulang-tulang Berserakan (Usman Awang), Panglima Salleh Selempang Merah (Zaharah Nawawi), Hijrah (Siti Rahmah G. Ibrahim), Syonagar (Hizairi Othman)  dan pelbagai judul lagi - kebanyakannya novel.

Masa itu, dunia saya adalah dunia novel-novel yang saya baca. Saya tak kisah kalau tidak punya kawan. Cukup bagi saya sekiranya ada senaskhah buku di tangan. Itulah yang akan saya gulati hingga ke lembar terakhir.

Namun, luasnya dunia pembacaan saya tidak menjamin kelangsungan cita-cita saya. Impian saya untuk menjadi Pustakawan lebur apabila ketika saya sedang membuat pilihan kursus yang akan saya ikuti di peringkat ijazah. Baru saya tahu, sesi matrikulasi Sains Hayat yang saya ikuti selama 3 semester tidak mengizinkan saya untuk memilih kursus Sains Perpustakaan. Ia perlukan sijil STPM. Oh Tuhan, itulah kesilapan paling besar dalam hidup saya ….

Apa pun, saya doakan agar hati saya belum lagi tertutup untuk menyambung pengajian yang tersangkak 8 tahun lalu. Mungkin selepas ini saya akan menggenggam ijazah dalam bidang Pengurusan Teknologi dan Maklumat pula. (Thanks Zaza for the info)

Paradise

Posted on June 3, 2007 by anum78.
Categories: Books.

Saya sibuk sekarang - sedang membaca novel ‘Paradise’ karya AbdulRazak Gurnah. Membaca novel ini mengingatkan saya kepada ‘Ayat-ayat Cinta’. Ternyata tulisan ‘Hamka kecil’ itu dipengaruhi gaya tulisan penulis Timur Tengah.

‘Paradise’ lebih merupakan sebuah autobiografi. Nantilah, kalau saya berkesempatan, akan saya buat sedikit ulasan.

Demi menghabiskan ‘Paradise’, saya terpaksa ketepikan dua majalah hadiah teman: G-Files dan Nativiti. Minggu ini mungkin saya sekali lagi akan membaca ‘Terminal Tiga’ karya Othman Puteh atau sekurang-kurangnya membelek-belek ‘Biografi Othman Puteh’ oleh Ali Majod dan ‘Penghayatan Novel Terminal Tiga’ oleh Ruzaini Yahya untuk projek Galeri Novel. Oh, saya mesti segera ke PDM utk mendapatkan kedua-dua buku ini.

Pesta buku Islam Pertama di Malaysia

Posted on May 29, 2007 by anum78.
Categories: Books.

Salam pagi Rabu. Saya tampalkan iklan pameran buku ini yang saya terima melalui e-mel. Kepada anda yang berkesempatan, luangkanlah waktu untuk menghadiri pameran ini.

********************************************************************************************************************************

ctumi2000 wrote: COMING SOON…FIRST IN MALAYSIA!!!

Message: assalamualaikum teman2 seperjuangan. …

Insha-Allah Pesta Buku Islam Antarabangsa pertama kali diadakan di Malaysia akan diadakan di Kota Bharu Bandar Raya Islam INTERNATIONAL ISLAMIC BOOK FAIR 2JUN-14JUN DEWAN JUBLI PERAK MKPB,KOTA BHARU…

ANTARA AKTIVITI SEPANJANG PESTA: DIKIR BARAT, BICARA/ULASAN BERSAMA-SAMA PENULIS2 POPULAR BICARA AD-DIN IKIM.FM & IN TEAM-SHOW

Diharap pada teman2 yg mencintai ilmu dan mendokong perjuangan Islam bolehlah datang memberi sokongan Pada Pesta Buku Islam yg PERTAMA kali diadakan di MALAYSIA..

Menurut maklumat terkini.. Insha-Allah ia disertai oleh penerbit2 buku Islam dari Indonesia,Brunai ,Jordan , Syria, Arab Saudi dan negara2 lain…

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi sekretariat SPEEDI 013-3621236 0193799101

JOM RAMAI2 KITA MERIAHKAN PESTA BUKU ISLAM ANTARABANGSA YG JULUNG2 KALI DI ADAKAN.

HEBAHKAN PADA RAKAN TAULAN, MAK CIK, PAK CIK, ADIK, KAKAK,ABANG2, SERTA PENDUDUK KAMPUNG DAN JUGA SEMUA PENDOKONG PERJUANG ISLAM !!!

********************************************************************************************************************************

Pinjam Buku

Posted on May 28, 2007 by anum78.
Categories: Books.

Semalam, boss saya baru masuk pejabat selepas hampir seminggu bertugas di Indonesia, menghadiri Mesyuarat Sekretariat MABBIM di Bogor. Saya terlihat sebuah buku di atas mejanya. Dari pagi hingga petang, buku tersebut tetap di tempatnya.

Yang membuat hati saya bagai ditarik-tarik untuk melihat buku tersebut adalah wajah kulit depannya iaitu seorang budak lelaki dengan serban putih melilit kepalanya. Petang, lebih kurang jam 4, ketika menghantar fail untuk diambil tindakan, hati saya tidak tertahan lagi untuk mengetahui isi kandungan buku setebal 1/2 inci dengan kulit bertona coklat.

"Puan, boleh saya tengok buku ini?"

"Oh, boleh! Saya beli buku ini di Indonesia. Ambillah baca."

"Tapi ini buku bahasa Inggeris," kata saya kerana terpandangkan perkataan "Paradise" di kulit muka buku itu.

"Taklah, bahasa Indonesia. Ini novel Arab yang diterjemahkan ke bahasa Indonesia. Ambillah baca. Saya belum baca lagi ni. Awak baca dulu."

"Oh, terima kasih."

"Saya ada banyak buku lagi yang saya hendak hantar ke PDM."

"Hah, hantar ke PDM?"

"Ya. Rumah saya kecil, tak ada ruang nak simpan. Saya suka beli buku dan baca. Lepas baca, hantar ke PDM, ramai orang boleh baca. Awak dah baca "Da Vinci Code"?"

Saya geleng kepala.

"Ha, ada kat sini. (Sambil menuju ke kotak di sudut biliknya). Ini terjemahan Indonesia. Baca yang ini dahulu baru faham yang bahasa Inggerisnya. Kalau dalam bahasa Inggeris, ada gambararajah sekali. Awak ambillah, awak baca dahulu."

"Terima kasih, puan."

Saya senyum lebar sambil memegang erat "Paradise a Novel" oleh Abdulrazak Gurnah dan "The Da Vinci Code" karangan Dan Brown. Saya berazam untuk segera menamatkan bacaan saya sebelum kotak berisi buku di sudut bilik boss saya dihantar ke Pusat Dokumentasi Melayu (PDM).

Kitar Semula

Posted on May 6, 2007 by anum78.
Categories: Kitar Semula.

Ini pun telah ditepek di esasterawan pada 6 April 2006 jam 4.48 ptg.

***********************************************************************************

KITAR SEMULA

Aku pernah berjanji pada diriku, kalau aku mempunyai blog satu hari nanti, aku akan bercerita seterusnya mengajak pembaca2 blogku untuk sama-sama terlibat dengan program kitar semula. Hari ini, aku akan melunaskan janjiku.

Kenapa aku begitu teruja dengan program ini? Tak cukupkah kempen kerajaan di media cetak mahupun di kaca televisyen? Apa keuntungan yang bakal kuperoleh dengan menyibukkan diri dengan kempen kitar semula ini?

Aku perhatikan, senario di Malaysia ini, jika satu perkara itu (kecuali hiburan) tidak boleh mendatangkan keuntungan, rakyat Malaysia sukar utk melibatkan diri. Ini termasuk juga aku. Kenapa? Sebab kita sibuk nak penuhkan poket kita. Dengan harga minyak yg semakin naik, harga lauk pun tak pernah turun malah kalau bawa bekal ke pejabat pun tak dapat menjamin penjimatan belanja, kenapa perlu menyusahkan diri dengan kegiatan sukarela yg hanya berfaedah kepada masyarakat secara amnya tetapi tidak memberi pulangan ekonomi kepada diri sendiri?

Sepanjang aku menaiki LRT Star (satu ketika dulu), aku sering terkesan dengan iklan seorang ibu yg duduk bersama anaknya di dalam taman yg dipenuhi dengan timbunan sampah sarap. Aku pernah lalu di sebelah tempat pelupusan sampah yang baunya, tak dapat nak kuceritakan. Lalu, setiap kali terpandang iklan ini, aku bagai tercium bau busuk timbunan sampah tersebut. Kini walaupun apa yang kulihat hanyalah satu iklan, ia tetap menghantuiku.

Iklan ini benar2 menyentuh jiwaku dan menimbulkan kesedaran kepada diriku. Ya, kita perlu melakukan sesuatu. Tetapi apa yang boleh kulakukan? Aku cuba mencari di mana boleh kuperoleh tong-tong kitar semula. Tong-tong kitar semula ni memang cantik tetapi malangnya tiada penyelenggaraan terhadap tong-tong tersebut. Orang kita seperti biasa, sesuka hati meletakkan apa sahaja di dalam tong-tong ini.

Lama-kelamaan, semangatku utk mengitar semula bahan buangan di sekelilingku semakin pudar hinggalah pada tahun lalu apabila tempat kerjaku menjalankan operasi ‘pembersihan’. Melalui operasi ini aku berkenalan dengan En. Azhar Sidek. Beliau menjalankan perniagaan membeli barang-barang terbuang yang boleh dikitar semula. Apa sahaja barang sama ada kertas, plastik, kaca, dan tin dibelinya dengan kadar harga tertentu.

Mulai hari itu juga, aku mengumpul bahan-bahan ini. Apa sahaja seperti surat khabar, kotak tisu, katalog lama, kotak rokok, botol air mineral, botol cecair pencuci pinggan, plastik pampers, botol kicap, tin-tin susu, payung lama dll yang berasaskan kertas, plastik, tin atau kaca kubersihkan dan kukumpul. Kebersihan penting supaya bahan-bahan ini tidak berbau busuk seperti botol kicap, tin sardin atau tin susu. Bahan yang bersih ini juga boleh disimpan lama tanpa gangguan semut atau lipas.

Selepas tiga atau empat bulan apabila kurasakan bahan-bahan ini mula memenuhi bilik kecilku, aku pun menghubungi En. Azhar dan meminta dia datang ke rumahku untuk mengambil bahan-bahan ini. Setakat ini, telah dua kali dia datang ke rumahku. Kali pertama, aku cuma dapat RM11.00 dan kali kedua aku dapat RM14.50. Oklah tu.

Aku mengumpul barang ini secara individu dengan dibantu ibu mertuaku. Aku juga meminta bantuan orang gaji adik iparku untuk tidak membuang tin-tin susu anak buahku. Tin susu ni nampak banyak, tapi bila ditimbang ringan sahaja.

Kepada saudara-saudara sekalian yang berminat mengikut jejak langkahku, mulakan usaha anda sekarang. Kalau isi rumah anda ramai, berpakatlah dengan isi rumah anda. Sediakan satu ruang untuk menempatkan bahan-bahan ini dalam keadaan bersih dan kumpulkan bahan-bahan tersebut. Tentu anda tak perlu tunggu hingga empat atau lima bulan bagi mendapatkan hasilnya. Kalau anda mempunyai persatuan pula, apa kata, berpakatlah dengan rakan-rakan sepersatuan. Tak kisahlah Persatuan Kebajikan Jalan Kebun ke, Kelab Khairat Kematian Taman Mewah ke, Kelab Badminton Sekolah ke, berpakatlah dengan ahli kelab dan persatuan anda. Sebulan sekali bolehlah dijual bahan-bahan terbuang ini. Hasil jualan bahan-bahan terbuang ni boleh juga menambah tabung kelab dan persatuan anda.

Oleh itu, di kesempatan ini, aku menyeru saudara-saudara sekalian untuk sama-sama memelihara alam sekitar kita. Mulailah mengumpul apa sahaja bahan buangan yang boleh dikitar semula. Jika anda bermurah hati, tempatkan bahan2 ini di tong-tong kitar semula. Tapi kalau nak duit sikit (tak boleh untung pun), bolehlah menghubungi En. Azhar Sidek (014-2279958) atau sesiapa sahaja yang anda kenal yang menjalankan perniagaan seumpamanya. Semoga atas kesedaran anda semua, kita tidak akan duduk dalam timbunan sampah sarap atau minum air busuk lagi.

Di Mana Cermin Mata Aku

Posted on by anum78.
Categories: Weblogs.

Ini entri pertama di esasterawan.com. Disiarkan pada 27 Mac 2006 jam 2.36 ptg. Selamat membaca :)

*******************************************************************************

Di mana cermin mata aku? Di bawah kerusi? Tiada. Di atas meja? Tiada. Di atas peti sejuk? Tiada. Di atas televisyen? Tiada. Di dalam bilik air? Pun tiada. Habis, di mana cermin mata aku?

Satu perkara yang paling menyakitkan hati dan bakal membuat hidupku gelisah satu hari ialah apabila cermin mata yang kucari tiada. Puas kuraba di bawah kerusi (kerana aku tidur di sebelah kerusi itu) tapi tak berjumpa. Kutinjau-tinjau, kuraba lagi, masih juga belum berjumpa. Hampir sepuluh minit mencari, tapi tidak berhasil. Ah, hati sudah mula menyungut-nyungut. Mana cermin mataku? Adakah disorok suamiku?

Setelah pasti pencarianku tak berhasil, aku bangkit, mandi, solat Subuh, berpakaian ringkas (malas menggosok sebab tak ada mood), sidai baju, buang nasi basi ke tanah dan kembali meraba-raba di bawah kerusi. Ah, di mana cermin mataku? Dilarikan cencurut ke? Aku perasan bau hancing kencing cencurut memenuhi ruang dapur dan kamar mandi rumah mertuaku (aku tinggal bersama mertua). Dan aku juga beberapa kali terlanggar perangkap tikus yg dipasang suamiku berhampiran sinki. Perangkap itu terbuka. Umpan hilang tetapi si kecil itu tiada. Aku terfikir, memberontakkah sang cencurut itu kerana suamiku ingin memerangkapnya lalu ia melarikan cermin mataku yang baru seminggu menjadi hak milikku. Oh Tuhan, janganlah ia jadi kenyataan.

Jam menghampiri 6.40 pagi. Aku perlu segera mencari cemin mataku atau melupakannya sahaja. Terbayang-bayang kesukaran yang bakal kualami sepanjang hari tanpa cermin mata. Aku masih boleh nampak. Ya, aku rabun tapi bukan buta. Kuasa cermin mataku boleh tahan juga. 475 di sebelah kanan dan 425 di sebelah kiri. Tak tinggi sangat pun. Masih boleh mengecam kawan-kawan sepejabat atau ahli keluargaku sendiri. Tapi aku tak kuasa menjawab soalan, “Mana cermin mata?” Adakah mereka percaya kalau jawapanku “Oh, cermin mata saya dilarikan cencurut. Ia marah kerana kami ingin menangkapnya dan membuangnya jauh-jauh dari rumah. Ia memberi amaran dengan melarikan cermin mataku.” Arh, sungguh tidak logik.

Ikhtiar terakhir. Aku memetik suis lampu. Kebetulan aku terpandang cermin mata lama yg masih kusimpan di dalam almari. Dengan memakai cermin mata lama (yang hampir patah hasil kerja tangan anakku), aku kembali mengintai di bawah kerusi. Nah, itu pun dia. Jauh terperusuk ke dinding. Terima kasih cermin mata lamaku kerana dengan bantuanmu aku jumpa cermin mata yang baru. Terima kasih cahaya lampu kerana dengan cahayamu aku nampak cermin mataku.

Aku tersenyum kini. Aku tidak perlu melalui satu hari tanpa cermin mata.

Kali Pertama

Posted on April 29, 2007 by anum78.
Categories: Weblogs.

Salam …

Ini entri pertama, baru belajar buat blog di sini. Kalau selesa, Insya-Allah akan diteruskan sbb la ni nak tutup blog lama.

Chow!!